Kegagalan sistem’ punca kemelut penerbangan Southwest

- Advertisement -

WASHINGTON: Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat (AS), Pete Buttigieg, meningkatkan tekanan ke atas Southwest Airlines dengan menyatakan bahawa pembatalan ribuan penerbangan menunjukkan kegagalan sistem syarikat penerbangan tambang murah itu.

- Advertisement -

“Kita sudah melepasi peringkat yang mereka boleh beri alasan bahawa masalah yang berlaku adalah akibat faktor cuaca,” kata Buttigieg dalam temu bual yang disiarkan oleh ABC News.

“Jangan salah faham, semua ini bermula dengan ribut yang teruk itu. Kami melihat cuaca musim sejuk kali ini menjejaskan negara dan sangat mengganggu semua syarikat penerbangan,” katanya.

Di seluruh AS, sekurang-kurangnya 60 orang maut dalam insiden berkaitan cuaca dalam tempoh beberapa hari lalu, lapor NBC News.

Bagaimanapun, Buttigieg berkata kebanyakan sistem penerbangan dan syarikat penerbangan lain kelihatan telah kembali pulih dari gangguan cuaca.

“Jadi apa yang ditunjukkan ini adalah kegagalan sistem (Southwest) dan mereka perlu memastikan penumpang yang terkandas sampai ke tempat yang mereka perlu pergi dan diberikan pampasan yang mencukupi.

“Bukan sahaja pampasan untuk penerbangan itu sendiri … tetapi perkara lain seperti hotel, pengangkutan darat dan makanan kerana semua ini adalah tanggungjawab syarikat penerbangan,” katanya yang turut memberitahu telah bercakap dengan pengurusan Southwest.

Syarikat penerbangan AS membatalkan beribu-ribu penerbangan ketika ribut musim sejuk melanda sebahagian besar negara menjelang dan ketika cuti Krismas hujung minggu lalu. Namun, masalah di Southwest semakin meruncing ketika sebahagian besar syarikat penerbangan lain kembali beroperasi seperti biasa.

Mengikut laman web penjejakan penerbangan FlightAware, Southwest membatalkan lebih 14,500 penerbangan sejak Jumaat lalu dan semalam, membatalkan 2,500 penerbangan. – REUTERS

.

- Advertisement -