Taman buah eksotik jadi tarikan pengunjung ke Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Berkunjung ke Perlis pastinya tidak lengkap jika tidak singgah di Taman Buah-Buahan Eksotik yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Anggur.

- Advertisement -

Lokasi tersebut menjadi antara lokasi tarikan pelancong setelah dinaik taraf dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya menaiki skuter elektrik.

Seorang pengusaha skuter elektrik, Mohd Tajudin Hasan, 63, berkata sambutan ketika musim cuti sekolah amat menggalakkan sehingga ada permintaan untuk ditambah lokasi perkhidmatan tersebut.

“Sehingga kini kita sediakan perkhidmatan ini di lima lokasi iaitu di Taman Merdeka, Taman Ular, Taman Agrovet, di sini dan juga di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kangar.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan banyak agensi yang minta kita sediakan perkhidmatan ini tetapi kita terpaksa tolak memandangkan kekurangan kakitangan dan keperluan,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau memulakan perkhidmatan tersebut sejak lapan tahun lalu semasa masih dalam perkhidmatan dan selepas bersara beliau terus terlibat secara lebih serius.

Harga yang disediakan juga berpatutan iaitu RM25 untuk 20 minit dan untuk kereta elektrik pula RM20 untuk 20 minit.

“Kadang kita beri masa lebih mengikut kesesuaian seperti mereka yang guna banyak buah jadi kita beri dia masa lebih.

“Ada pengunjung yang ambil lima buah motosikal, tetapi kita hanya minta dia bayar untuk empat buah sahaja,” katanya.

Mohd Tajudin Hasan

Beliau mendapat idea untuk menjalankan perkhidmatan tersebut selepas banyak melancong ke luar negeri.

“Macam di negeri-negeri lain mereka lebih awal lagi melakukan aktiviti ini seperti di Indonesia dan Kuala Lumpur.

“Kita pun dalam usaha untuk menaikkan Perlis menuju Tahun Melawat Perlis pada tahun 2023,” ujarnya lagi.

Untuk makluman, tiada sebarang bayaran dikenakan dan ruang parkir yang disediakan juga luas.

Sungguhpun namanya ‘taman buah-buahan’, tetapi tempat ini menyajikan panorama alam yang indah dan memberi ketenangan.

Selain aktiviti menaiki skuter elektrik, pengunjung juga boleh memberi makanan kepada ikan yang ada di dalam kolam dengan makanan yang disedikan dengan harga RM2 sebungkus.

Di sini juga disediakan banyak tempat cantik untuk pengunjung merakam memori.

Ia merupakan satu usaha yang sangat bagus memandangkan orang zaman sekarang suka berkongsi foto di media sosial sekali gus menjadikan sebagai satu promosi bagi tempat ini.

Pemandangan taman yang berlatarbelakangkan bukit Wang Gunung menambahkan lagi seri foto yang dirakam terutama bagi mereka yang meminati bidang fotografi.

Selain buah anggur, di sini juga ditanam buah naga, tin, durian, harum manis dan gac.

Taman Buah-Buahan Eksotik dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. – HARAKAHDAILY 28/12/2022

- Advertisement -