Polis rampas syabu bernilai RM11.5 juta di Setiawangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan bersama 320 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM11.5 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Setiawangsa di sini, Sabtu lepas.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata suspek masing-masing berumur 29 dan 34 tahun itu bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak September lepas dan ditahan pada 5.40 petang.

Beliau berkata dalam serbuan ke atas rumah dipercayai dijadikan stor simpanan dadah itu, polis menemukan 13 kampit guni berisi 310 bungkusan teh cina ‘Guanyingwang’ berwarna kuning keemasan dan hijau dipercayai syabu.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dianggar bernilai RM20,800 dipercayai pengangkutan untuk mengangkut dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yahaya berkata soal siasat mendapati suspek pertama seorang jurujual kereta memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala suspek kedua yang juga jurujual dalam talian memiliki satu rekod jenayah lampau dadah.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek menjual dadah tersebut untuk pasaran tempatan serta sekitar Lembah Klang dan ujian saringan air kencing mendapati seorang daripadanya positif dadah.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari mulai 25 hingga 31 Dis untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau, polis terbuka untuk menerima maklumat berkaitan dengan kegiatan salah guna dadah dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat di talian 03-2115999.

Orang ramai juga boleh menghubungi hotline aplikasi WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di talian 012-2087222. – BERNAMA

- Advertisement -