Operasi SAR diteruskan, mayat ke-25 ditemui malam tadi

Foto daripada Facebook Polis Selangor.
- Advertisement -

BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya Jumaat lepas, diteruskan pagi ini.

- Advertisement -

Operasi berkenaan memasuki hari keenam hari ini selepas ditangguhkan pada 12 tengah malam tadi.

Sebelum operasi ditangguhkan, anggota penyelamat menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam tadi menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini 25 orang.

Keadaan tanah yang lembik, lecak dengan lumpur tebal sedikit sebanyak menyukarkan usaha pencarian. 

Anggota penyelamat juga kelihatan terus bersemangat menjalankan tugas pencarian meskipun tiga pegawai dan anggota terpaksa diberi rawatan kerana kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.

Perkembangan terbaharu malam tadi menyaksikan sehingga kini 61 selamat, 25 terkorban dan lapan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berkenaan pada 2.42 pagi, Jumaat lepas. – BERNAMA

- Advertisement -