Laungan azan ikhtiar baharu kesan tujuh lagi mangsa

Foto daripada Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia).
- Advertisement -

BATANG KALI: Laungan azan sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini menjadi antara ikhtiar terbaharu pasukan SAR.

- Advertisement -

“Azan dikumandangkan oleh seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebelum memulakan operasi SAR hari ini.

“Ini adalah satu ikhtiar pasukan pencarian,” kata Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor kepada Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.

Operasi pencarian yang memasuki hari keenam berjaya menemukan satu mayat lelaki dewasa pada 11.16 pagi tadi di sektor B (kem Farmview).

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 26 terkorban dan tujuh lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa.

Sementara itu, tinjauan Bernama di PKTK setakat 7.30 malam ini juga mendapati operasi SAR masih ditangguhkan sementara sejak kira-kira 4 petang tadi berikutan hujan lebat.

Selain itu, sidang media yang kelazimannya dilakukan pada 6.30 petang setiap hari, juga tidak diadakan hari ini.

Pihak Jabatan Penerangan Malaysia memaklumkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah akan memberi pemakluman berhubung perkembangan operasi SAR menerusi kenyataan media sahaja. – BERNAMA

- Advertisement -