Buka ruang, peluang perniagaan untuk bantu wanita

- Advertisement -

KANGAR: Peranan wanita tidak lagi terhad sebagai tenaga simpanan berikutan daripada desakan sosial dan ekonomi seluruh dunia ketika ini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Datin Marzita Mansor berkata, semakin ramai wanita yang masuk dalam lapangan telah berjaya menjawat jawatan bertaraf penting sama ada dalam kerajaan atau swasta.

“Fokus kerajaan dalam membantu golongan wanita mestilah lebih kepada membuka ruang dan peluang perniagaan melalui agensi kerajaan dan separa kerajaan atau swasta dengan badan bukan Kerajaan (NGO) wanita yang terdapat di Negeri Perlis ini.

“Contohnya seperti mewujudkan Grab untuk wanita sekali gus akan membuka peluang pendapatan kepada golongan ini serta  peluang-peluang perniagaan online secara sistematik,” katanya ketika membahaskan Bajet 2023 pada persidangan DUN Perlis, di sini, hari ini.

Menurut Marzita lagi, sungguhpun terdapat perkara yang kaum wanita sendiri tidak dapat lakukan sepertimana kaum lelaki namun dalam sesetengah keadaan golongan lelaki juga tidak boleh melakukan sesuatu kerja yang boleh dilakukan oleh wanita.

“Justeru, tanggapan ini harus dibuat secara positif dan rasional dengan tidak meletak wanita sebagai golongan lemah kerana mereka juga berkemampuan dan berkredibiliti.

“Peranan mendidik generasi serta kerjasama semua pihak samada dalam keluarga, tempat kerja, jiran tetangga dan masyarakat setempat perlu diperhebat untuk menjadikan wanita kepada penyumbang pembangunan negeri,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan baharu memperkasakan sistem pusaka agar tebus guna tanah yang terlibat dengan krisis pusaka dapat dipercepatkan. 

“Kita menyedari agensi kerajaan yang terlibat dalam urusan ini telah mereka cipta pelbagai kaedah untuk memastikan urusan pusaka diselesaikan degan segera namun kekangan masih ada. 

“Maka selaku kerajaan baharu saya mencadangkan perkara ini diberi perhatian agar dapat mengurangkan keresahan rakyat yang terlibat,” ujarnya.

Katanya, tebus guna tanah haruslah diaktifkan dengan mengambil kira pemilikan tanah persendirian dan juga tanah kerajaan. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -