Tanah runtuh: Tiga pegawai, anggota SAR kurang sihat, cedera

Foto daripada Facebook KPKT Malaysia.
- Advertisement -

BATANG KALI: Tiga pegawai dan anggota penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini semalam kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan, namun semuanya dalam keadaan stabil.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mereka ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis, seorang anggota bomba memang ada komplikasi kesihatan dan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam yang kakinya terkehel namun telah didiscaj pagi ini.

“Setakat ini, saya harapkan semua pihak supaya kita mendoakan kesihatan ketiga-tiga pegawai dan anggota penyelamat yang bertugas dalam operasi SAR,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam Norazam dikejarkan ke Hospital Selayang akibat keletihan dan strok ringan (minor stroke).

Dalam pada itu beliau yang juga Komander Operasi Bencana berkata polis belum boleh mendedahkan identiti kesemua sembilan mangsa masih hilang dalam insiden yang berlaku awal pagi Jumaat lepas itu.

Suffian berkata ini kerana pihaknya masih membuat semakan teliti kerana ia melibatkan aspek siasatan.

“Mungkin dalam sedikit masa lagi kita boleh dedahkan mangsa-mangsa yang hilang, setakat ini masih dalam siasatan tindakan pihak polis,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata waris atau mangsa yang masih hilang boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berdekatan bagi memudahkan penyiasatan.

Katanya, setakat ini hanya dua laporan polis diterima berhubung kehilangan anggota keluarga disebabkan insiden berkenaan.

Suffian berkata pihaknya juga telah mengenal pasti dua lagi pemilik kenderaan terlibat dalam insiden berkenaan, dengan satu daripadanya dimiliki oleh pekerja ladang berkenaan dan satu lagi kepunyaan sebuah syarikat dan pihaknya masih membuat siasatan lanjut berhubung syarikat berkenaan.

Semalam, beliau berkata lima daripada tujuh pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden berkenaan telah dikenal pasti, iaitu dua daripadanya telah meninggal dunia, dua selamat dan seorang masih hilang.

Beliau berkata setakat semalam, belum ada perkembangan positif dalam aspek pencarian mangsa yang hilang, dengan kerja SAR diteruskan pagi ini menggunakan kekuatan 115 pegawai dan anggota melibatkan lima agensi penyelamat utama.

Ia turut dibantu 11 jentera berat dan dua anjing unit pengesan (K9), katanya. – BERNAMA

- Advertisement -