Selamat nyawa dulu, perkara lain bincang kemudian

Dr Azman menyantuni mangsa banjir di PPS SK Tanah Merah, Besut.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau sangat maklum secara teori atas kertas dan di skrin telefon bimbit (HP), operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir sepatutnya dibuat begitu atau begini.

- Advertisement -

“Tapi bila kita berdepan situasi sebenar yang tak menentu dan kecemasan di lapangan, maka keutamaan kami ialah selamatkan mangsa dan pastikan penghuni pusat pemindahan banjir tak terputus bekalan makanan.

“Bagaimana cara dan kaedahnya?” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Menurutnya, tentu bukan semuanya menepati teori yang ada.

“Kita akan redah selagi boleh,” katanya yang juga Adun Jabi.

Beliau menambah, di situlah perbezaan cara berfikir antara petugas di lapangan dengan petugas di skrin HP.

“Selamat nyawa dulu dan perkara lain kita boleh bincang kemudian,” ujarnya lagi.

Dalam hantaran yang lain, beliau menyatakan dapat menyantuni semua 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di DUN Jabi bermula awal pagi hingga Maghrib dengan PPS Kampung Pohon Tal menjadi lokasi terakhir.

“Hujan masih mencurah dan nampaknya kita perlu bersedia untuk menerima tambahan mangsa yang bakal berpindah.

“Inilah banjir paling besar yang pernah melanda seluruh daerah Besut.,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022

- Advertisement -