Karim Benzema bersara dari skuad Perancis

- Advertisement -

ANKARA: Bintang Perancis Karim Benzema pada Isnin mengumumkan persaraan dari arena bola sepak antarabangsa pada hari lahirnya yang ke-35, lapor Agensi Anadolu.

- Advertisement -

“Saya telah berusaha dan kesilapan yang dilakukan menjadikan siapa saya pada hari ini dan saya berbangga dengannya! Saya telah melakarkan kisah saya dan perjalanannya kini sudah tiba di penghujung,” kata Benzema dalam catatan di Instagram disertai dengan fotonya menyarungkan jersi Perancis.

Penyerang Real Madrid dan Perancis itu telah menjaringkan 37 gol dalam 97 penampilan di peringkat antarabangsa.

Beliau mewakili Les Bleus dalam Piala Dunia FIFA 2014 dan kejohanan Euro 2008, 2012 dan 2020.

Benzema tidak beraksi dalam Piala Dunia 2022 selepas mengalami kecederaan paha kiri pada November, sehari sebelum kejohanan Qatar 2022 bermula.

Beliau cedera ketika sesi latihan di Qatar dan kemudian kembali ke Real Madrid untuk menjalani sesi pemulihan.

Persekutuan Bola Sepak Perancis sebelum ini memaklumkan bahawa Benzema memerlukan tiga minggu untuk pulih.

Akhbar sukan Perancis L’Equipe sebelum ini melaporkan bahawa Benzema, yang memenangi anugerah berprestij Ballon d’Or (Bola Emas) pada Oktober mahu kekal bersama Perancis dan berpeluang bermain sebaik sahaja dia pulih.

Pada 12 Dis, Real Madrid mengesahkan bahawa Benzema menghadiri latihan kelab itu beberapa hari sebelum perlawanan separuh akhir Perancis menentang Maghribi.

Pada perlawanan akhir Piala Dunia Ahad lalu, Perancis, tanpa Benzema, tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti dan pulang dengan pingat perak. – BERNAMA

- Advertisement -