Bajet 2023: Perlis beri penekanan tiga teras utama

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis akan memberi penekanan kepada tiga teras utama dalam usaha merealisasikan pelaksanaan Bajet 2023, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Menruutnya, teras pertama merangkumi peningkatan ekonomi melalui pelaburan, teras kedua pula meningkatkan kualiti hidup rakyat dan teras ketiga pula memberi penekanan mengenai pembangunan negeri yang mapan.

“Di bawah teras pertama, projek berimpak tinggi seperti Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port), Jeti Bersepadu Sanglang (Sanglang Integrated Jetty) dan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Negeri Perlis (Kangar Sentral) akan terus diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2023 pada Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN Perlis di sini hari ini.

Katanya lagi, pembangunan prasarana di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) Fasa satu telah hampir siap sepenuhnya dan bersedia menerima pelabur.

“Sehingga kini, CVIA yang melibatkan pembangunan tanah seluas 440 ekar dengan kos pembangunan sebanyak RM 200.98 juta telah menerima pelaburan awal daripada Syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

“Perjanjian pembangunan kilang pengeluaran telah pun ditandatangani dan proses pembinaan kilang dijangka akan bermula pada tahun hadapan,” ujarnya.

Menurut Mohd Shukri lagi, bagi pembangunan CVIA fasa kedua pula, ia melibatkan pembangunan tanah seluas 2,042 ekar.

“Sejumlah RM76.4 juta telah dimohon di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3, RMKe-12) untuk tujuan pembangunan infrastruktur berkenaan daripada Kerajaan Persekutuan dan masih menunggu kelulusan.

“Kita juga akan terus menjalin kerjasama erat bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memastikan perancangan dan pembangunan CVIA ini terus berjalan lancar dan mencapai matlamat penubuhannya,” katanya.

Justeru, ujarnya lagi, sebagai penggerak awal kawasan tersebut, penubuhan dan pengopersian Delivery Management Office (DMO) telah dipersetujui oleh kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan dan pelaburan di Kawasan CVIA tersebut berjalan lancar. – HARAKAHDAILY 20/12/2022

- Advertisement -