Nelayan muda dihanyut ombak selepas bot terbalik

- Advertisement -

KUANTAN: Seorang nelayan muda berdepan detik cemas apabila botnya terbalik kira-kira 200 meter daripada pantai Balok, dekat sini, kelmarin.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andasura Rabu berkata, nelayan terbabit yang dikenali sebagai Ali, keluar menangkat ke laut dari kuala Sungai Balok kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, pada peringkat awal bot yang dinaiki Ali secara bersendirian mengalami masalah dan dia berusaha berhenti untuk berpatah balik.

“Namun ombak kuat menolak botnya hingga terbalik menyebabkan dia terpaksa terjun untuk menyelamatkan diri.

“Selepas sejam berpaut pada tong dia dihanyutkan sehingga ke pinggir pantai berhampiran De Rhu Beach Resort,” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya.

Andasura berkata, beberapa penduduk di lokasi berhampiran menyelamatkan Ali selepas ternampak dia melambaikan tangan meminta pertolongan.

Menurutnya juga beberapa nelayan membantu menguruskan botnya.

“Ali masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku itu. Sehingga sekarang dia belum mempunyai kekuatan untuk melihat keadaan botnya,” ujar kenyataan beliau dalam Facebooknya.

Kata beliau juga, insiden seumpama itu antara risiko yang dihadapi nelayan terutama ketika keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.

“Sama-sama kita doakan semoga Allah SWT berikan keselamatan kepada nelayan kita yang menjadikan laut sebagai tempat mencari rezeki,” ujarnya.

Sempena program ziarah itu, Andasura turut melawat seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Adik Anisa di rumahnya di Cherating, yang mana dia telah menjalani pembedahan apendiks kira-kira dua minggu lalu.

“Saya juga menziarahi Imam Masjid Cherating Haji Mustapha yang mengalami jangkitan kuman di paru-paru. Dia tampak agak lemah dan mudah mengah apabila banyak bergerak.

“Seorang lagi yang saya ziarahi ialah Ismail yang mempunyai masalah jantung selain menghidap kencing manis,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2022

- Advertisement -