Keadilan Umar al-Khattab menguruskan harta negara

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 59)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

DARIPADA Malik bin Aus, katanya:
Umar pernah bersumpah sebanyak 3 kali, katanya:

والله ما أحد أحق بهذا المال من أحد وما أنا بأحق به من أحد والله ما من المسلمين أحد إلا وله في هذا المال نصيب إلا عبدا مملوكا ولكنا على منازلنا من كتاب الله تعالى وقسمنا من رسول الله صلى الله عليه وسلم فالرجل وبلاؤه في الإسلام والرجل وقدمه في الإسلام والرجل وغناؤه في الإسلام والرجل وحاجته و والله لئن بقيت لهم ليأتين الراعي بجبل صنعاء حظه من هذا المال وهو يرعى مكانه
Maksudnya: ‘Demi Allah! Tidak ada seorang pun yang lebih berhak terhadap harta ini dari seorang yang lain. Dan tidaklah aku lebih berhak terhadapnya dari orang lain. Dan demi Allah! Tidak ada seorang Islam melainkan dia juga ada bahagian dari harta ini, kecuali hamba yang dimiliki, tetapi kami juga menuruti kitab Allah, dan janji kami dari Rasulullah.

Seseorang dan ujan yang dihadapinya dalam Islam. Seseorang dan lamanya dalam Islam. Seseorang dan kekayaannya dalam Islam. Seseorang dan hajatnya. Dan demi Allah! Jika aku masih ada, datanglah seorang penggembala di Bukit San’a untuk dapatkan harta ini, dalam keadaan dia mengembala di tempatnya.’

Dari ucapan Umar ini, kita boleh mengambil banyak pengajaran. Apa yang saya boleh simpulkan di sini ialah:

1- Kata-kata Umar di atas menunjukkan apa yang ada dalam hatinya, lalu disebut dalam bentuk sumpah itu. Ia bukan sandiwara politik seperti sesetengah ahli politik kini. Ia datang dari hatinya yang suci, yang ada taqwa yang hebat, yang merasai besarnya amanah yang mesti ditanggung apabila menjadi pemerintah.

2- Harta negara adalah harta umum. Ia bukan milik peribadi. Setiap warganegara dan rakyat berhak terhadap sesuatu harta itu menurut salurannya. Umar membahagikan harta negara dengan adil kepada rakyatnya.

3- Harta negara juga, jika diselewengkan dan disalahguna, ia akan memudaratkan negara tersebut. Taqwa mesti menjadi asas kepada semua bentuk pengurusan dan pentadbiran untuk memastikan keadilan pembahagiannya.

4- Umar mengambilkira lama atau baru seseorang dalam Islam, kekayaannya, ujian yang dihadapi dan lain-lain faktor ketika membahagikan harta negara tersebut.

5- Umar tidak pernah mengabaikan rakyatnya sekalipun yang berada jauh dari Madinah, seperti di San’a, Yaman.

6- Dalam konteks semasa, pemerintah mesti ada nilai taqwa yang tinggi, integriti yang bukan bersifat kepura-puraan, pasukan pentadbir yang cekap dan bijak mengurus harta negara ini.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 15/12/2022

- Advertisement -