Argentina mara ke final Piala Dunia, benam Croatia 3-0

Julian Alvarez menjaringkan gol ketiga Argentina
- Advertisement -

Dua gol penyerang Julian Alvarez dan sepakan penalti Lionel Messi, memberikan Argentina kemenangan 3-0 ke atas Croatia pada separuh akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail, Qatar.

- Advertisement -

Messi meletakkan Argentina di hadapan dengan sepakan penalti pada minit ke-34 selepas penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic menjatuhkan Alvarez ketika dia mengejar bola.

Julian Alvarez menggandakan kelebihan buat pasukannya lima minit kemudian apabila membawa bola sejauh 50 meter dan terus mengawalnya ketika pertahanan Croatia cuba menjatuhkannya sebelum meledak gol kedua.

Lionel Messi menjaringkan gol pertama dan membantu gol ketiga Argentina

Pemenang tujuh kali Ballon d’Or, Messi terus membuktikan nilainya apabila larian solonya berjaya mengatasi kawalan beberapa pertahanan Croatia sebelum melorongkan bola kepada Alvarez untuk mengukuhkan kedudukan Argentina dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-69.

Croatia yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Jepun dan Brazil menerusi penentuan sepakan penalti dalam dua pusingan terakhir, cuba membalas serangan pada separuh masa kedua.

Namun hantaran kemas mereka gagal membuka sebarang ruang untuk menembusi benteng pertahanan Argentina. – REUTERS

- Advertisement -