Piala Dunia Qatar: Jepun, Maghribi cetus sensasi

Pemain Jepun meraikan kemenangan terhadap Sepanyol
- Advertisement -

Wakil Asia dan Afrika, Jepun dan Maghribi, benar-benar hebat apabila layak ke pusingan 16 terakhir dengan cukup bergaya.

- Advertisement -

Pada masa sama, pasukan yang berada di ranking lebih tinggi FIFA, Belgium (2) dan Jerman (11) malu besar apabila ditunjukkan jalan pulang lebih awal dari Piala Dunia yang kali pertama diadakan di rantau Asia Barat.

Jepun menewaskan jaguh Eropah, Sepanyol 2-1 yang turut layak ke pusingan kalah mati. Jerman yang juga dalam kumpulan sama, tersingkir walaupun mendapat jumlah mata yang sama seperti Sepanyol, tetapi tewas dari segi jaringan gol.

Sebagai pasukan bukan pilihan Kumpulan E, Jepun bukan sahaja menewaskan Sepanyol dan menyingkirkan Jerman, malah menjadi juara kumpulan.

Sementara itu, Maghribi yang kemenangan terhadap Belgium dalam perlawanan peringkat Kumpulan F sebelum ini mencetuskan rusuhan di Belgium dan Belanda, muncul sebagai juara kumpulan selepas menewaskan Kanada 2-1.

Memalukan buat Kanada yang menjadi pasukan tercorot apabila tewas dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Belgium yang hadir ke Qatar dengan reputasi besar, dibarisi pemain generasi emas yang mewakili pelbagai kelab terkemuka Eropah senasib dengan Jerman. Pasukan ini yang hanya mencatat satu kemenangan mengatasi Kanada, memerlukan kemenangan ketika menentang Croatia.

Namun keputusan seri 0-0 dengan Croatia menyebabkan negara Balkan itu mengiringi Maghribi dengan kelebihan satu mata berbanding Belgium.

Di pusingan 16 terakhir, Jepun bertemu Croatia, manakala Maghribi menentang Sepanyol.

Jepun-Sepanyol

Jepun menewaskan Sepanyol 2-1 dalam saingan Kumpulan E yang menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan 16 terakhir.

Penyerang Alvaro Morata meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-12 dengan menanduk hantaran lintang Cesar Azpilicueta untuk gol ketiganya dalam tiga perlawanan Piala Dunia kali ini.

Namun, Jepun menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi pemain sayap, Ritsu Doan yang merembat bola dari luar kotak penalti.

Ao Tanaka menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-51. Namun, jaringannya terpaksa dirujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk pengesahan.

Jerman-Costa Rica

Juara dunia empat kali, Jerman tersingkir seawal peringkat kumpulan buat kali kedua berturut turut di Piala Dunia walaupun mengatasi Costa Rica, 4-2. Kemenangan ini meletakkan Jerman di tangga ketiga Kumpulan E berikutan kemenangan Jepun 2-1 ke atas Sepanyol.

Memilih taktik bertahan, Costa Rica meletakkan lima pemain pertahanan. Namun, Jerman masih berjaya mencari jalan untuk mendapatkan gol seawal minit ke-10 apabila hantaran lintang David Raum, ditanduk masuk Serge Gnabry.

Jerman sedikit alpa selepas mengetahui Jepun mendahului Sepanyol dalam satu lagi aksi kumpulan menyebabkan Costa Rica meledak dua gol menerusi Yeltsin Tejeda dan Juan Pablo Vargas.

Terkejut dengan aksi Costa Rica, Kai Havertz meledak dua gol selepas dimasukkan dari bangku simpanan untuk mengesahkan tiga mata buat Jerman sebelum Niclas Fuellkrug menambah gol keempat buat Jerman.

Ahmed Reda Tagnaouti dan Abdelhamid Sabiri gembira Maghribi layak ke pusingan kalah mati

Maghribi-Kanada

Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986 dengan menewaskan Kanada 2-1 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan yang sudah tersingkir daripada saingan itu.

Maghribi yang perlu menang atau seri bagi meneruskan kemaraan mengambil kesempatan di atas kesilapan Milan Borjan yang tidak mengeluarkan bola dengan baik sebelum dihukum Hakim Ziyech seawal minit keempat.

Youssef En-Nesyri mengukuhkan kedudukan Maghribi apabila menyudahkan hantaran jauh Achraf Hakimi pada minit ke-24, manakala jaringannya di penghujung babak pertama dibatalkan kerana ofsaid.

Pertahanan Maghribi, Nayef Aguerd, menjaringkan gol sendiri buat Kanada, iaitu gol sendiri pertama pada Piala Dunia kali ini selepas menampan hantaran lintang Sam Adekugbe pada minit ke-40.

Croatia-Belgium

Croatia mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia selepas seri 0-0 menentang Belgium, sekali gus menyingkirkan pesaing Eropah yang dibarisi generasi emas itu.

Kedua-dua pasukan gagal melakukan percubaan tepat sepanjang babak pertama dan Belgium membawa masuk penyerangnya, Romelu Lukaku selepas rehat.

Bagaimanapun Croatia terlebih dahulu mempunyai peluang untuk mendahului permainan menerusi Marcelo Brozovic dan Luka Modric, tetapi aksi cemerlang penjaga gol, Thibaut Courtois memastikan Belgium tidak dibolosi.

Lukaku juga mempunyai beberapa peluang keemasan termasuk rembatan yang terkena tiang dan percubaan jarak dekat yang terlalu lemah. – REUTERS

- Advertisement -