Empat dekad PAS Kawasan Kluang

- Advertisement -

EMPAT dekad bukanlah satu tempoh yang pendek, lebih-lebih lagi pada ketika awal penubuhan, ia adalah sebuah parti yang dianggap kerdil dari pandangan parti lain yang agak asing bagi masyarakat di Johor yang lebih mengenali Umno yang dilahirkan di negeri Johor.

- Advertisement -

Usaha menubuhkan PAS di dalam Parlimen Kluang telah dilakukan oleh sekelompok masyarakat muda yang dipimpin oleh seorang tokoh agamawan yang ingin melihat PAS terus berkembang di sini.

PAS sebenarnya telahpun wujud di Kluang sebelum tahun 1978 lagi. Mengikut allahyarham Haji Mohamad Afdzual bin Julas @ Tulos, PAS ditubuhkan setelah beberapa ahli Umno bertindak keluar dari Umno dan meletakkan calon di Peringkat Parlimen dan DUN pada PRU tahun 1978. Namun, selepas PRU tersebut, PAS tidak lagi aktif seperti mana sebelum PRU.

Namun begitu, keinginan dan hasrat untuk melihat PAS kembali bergerak di Kluang bermula selepas PRU tahun 1982 apabila sekelompok masyarakat yang ingin melihat PAS berkembang di Kluang telah berusaha untuk kembali menubuhkan PAS.

Pada 5 November 1982, permohonan pertama untuk mendaftarkan PAS secara rasmi kepada Setiausaha Agung PAS telah dibuat dan pada 8 November 1982, permohonan tersebut telah diterima untuk diproses.

Sebanyak 21 borang permohonan baharu telah disertakan bersama surat tersebut yang kebanyakan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.

Antara mereka yang masih ada lagi sehingga kini adalah Haji Mohd Najib bin Hussin, Mahmood bin Ahmad, Mohd Mustaffa Kamal bin Ayub, Mas’od bin Hashim dan Rohana Ahad.

Surat permohonan tersebut telah ditandatangani oleh almarhum Ustaz Haji Omar bin Haji Jani, Ketua Penaja bagi PAS Kawasan Kluang.

Secara rasminya, pendaftaran PAS Kawasan Kluang telah diterima dari Pejabat Agung PAS pada 24 Jun 1983 sebagai tanda PAS Kawasan Kluang telah rasmi ditubuhkan.

Tahun hadapan, sambutan Empat Dekad PAS Kawasan Kluang akan diadakan bagi mengenang perjuangan mereka yang terdahulu sama ada yang masih ada ataupun telah pergi meninggalkan kita kerana apa yang ada ketika ini adalah hasil daripada mereka yang telah berjuang sejak dari awal penubuhan lagi.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Yang Dipertua PAS kawasan Kluang
1 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -