Warkah dari anak seorang pejuang Islam

- Advertisement -

APA khabar, mak dan ayah? Sihat kan! Ni Tainnah ni. Kiter sekarang ada kat Wisma Belia. Sekarang ni ada Seminar dan Teknik Menjawab Soalan SPM. Best tau. Banyak yang kita belajar. Tadi ada slot kaunseling. Suka kita tengok orang lain dapat result best. Straight A1.

- Advertisement -

Mak dan ayah,

Kita tahu mak dengan ayah mesti seronok kalau kiter dapat straight A1 dalam SPM. Terima Kasih sebab selama ni mak dan ayah dah besarkan dan didik kiter dengan baik. Tak mungkin kiter dapat balas.

Mak dan ayah,

Berat rasanya membawa harapan yang besar daripada semua orang ni, mak, ayah, sekolah, cikgu, agama dan rakan-rakan.

Mak dan ayah,

Kiter janji kiter akan belajar sungguh- sungguh. Kiter tahu keluarga kiter bukan orang senang. Kiter mesti belajar rajin-rajin. Kiter sian tengok mak dan ayah. Ayah dah keje susah-susah. Kiter sedih tengok ayah kena jual keropok, kain dan macam-macam lagi. Mak pun sibuk dengan aktiviti Islam.

Mak dan ayah,

Kiter tahu mak dan ayah adalah pejuang Islam. Kiter pun nak jadi pejuang Islam. Kiter mesti dapat straight A1. Kiter akan buktikan kat semua orang yang anak pejuang Islam mesti boleh berjaya. Kita tak suka orang pandang rendah kat orang yang perjuangkan Islam.

Mak dan ayah,

Kiter harapkan sangat mak dan ayah sokong kiter, bantu kiter. Kalau mak dan ayah faham, sebenarnya kiter rasa susah sangat nak puaskan hati semua orang, penuhi harapan setiap orang. Semua orang harapkan kejayaan kiter.

Mak dan ayah,

Doakan kita. Doa kiter rajin ulang kaji, dapat jawab SPM dengan baik dan Jadi contoh dekat orang lain. Doa mak dan ayahlah yang kita harapkan.

Mak dan ayah,

Terima kasih sebab didik kiter jadi macam sekarang. Kiter ingat lagi mak ajar kiter masa kiter kecik-kecik dulu. Ayah bagi duit nak belajar. Hanya Allah yang dapat membalasnya.

Mak dan ayah,

Kita tahu kiter nie budak nakal dan degil dulu. Selalu buat dosa, selalu degil, lawan cakap mak, tapi mak dan ayah tetap sayangkan kiter. Kiter selalu ingat pesan mak dan ayah supaya jadi anak yang soleh. Maafkan kiter, mak dan ayah. Halalkan semuanya untuk kita. Moga kiter mudah untuk menempuhi kehidupan ini di dunia dan di akhirat.

Mak dan ayah,

Ingat yer janji kiter nie. Kiter mesti usaha sungguh-sungguh untuk 13 A1 dalam SPM demi mengangkat nama pejuang Islam dan membanggakan mak dan ayah. Kalau kiter lupa, tolong ingatkan. Doakan kejayaan kiter. Moga Allah merahmati dan membalas jasa mak dan ayah selama ni.

Wassalam.

Salam sayang,

Anak kalian berdua,
Nurul Mutmainnah Bt Yusof
26/ 7/ 2004

Warkah ini sangat bermakna bagi seorang emak dan ayah.  Ianya telah tersimpan selama 18 tahun. Sekarang dia sedang menyambung pelajaran, Latihan Kepakaran Sakit Puan dan Perbidanan. (Master of Obstetrics and Gynaecology)  Semasa SPM, dia mendapat 12A 1B, bersekolah agama. Dia telah berjaya membuktikannya.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia. Amalan-amalan soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan serta lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”

(al-Kahfi : 46)

Harta dan anak-anak hanya perhiasan dunia. Mereka yang mencantikkan kehidupan kita di dunia ini. Tetapi harta dan anak-anak belum tentu boleh menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Yang kekal abadi adalah amalan-amalan soleh dan amal kebajikan yang boleh kita harapkan untuk dijadikan pahala di akhirat kelak dan doa daripada anak-anak yang soleh dan solehah.

Dari Abi Huhairah R.A, sesungguhnya Rasulullah S. A.W bersabda yang bermaksud:  

“Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.”

(Riwayat Muslim)

Anak-anak adalah harapan orang tuanya seandainya  anak-anak itu, anak-anak yang soleh, kerana harapan itu berada di dalam kesolehannya. Emak dan ayah juga adalah harapan kepada anak-anak. Seperti doanya Nabi Ibrahim A.S dalam al-Quran yang bermaksud:

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh.”

(As-Saffat: 100)

Inilah perjuangan emak dan ayah, memilihkan pusat pendidikan yang baik sedari kecil hingga peringkat tinggi untuk memastikan anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Ada sebahagian emak dan ayah yang tidak pandai membaca al-Quran, yang banyak berbuat dosa, yang belum hijrah kepada yang lebih baik tetapi seandainya mereka mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah, anak-anak ini akan mengangkat darjat kedua orang tuanya di sisi Allah S.W.T.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah S.W.T akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: “Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini?” Allah berfirman: “Dengan istighfar anak kamu kepadamu.”””

(Hadis Riwayat Ahmad (10610))

Wahai anak, 

Banyakkanlah minta keampunan buat orang tuamu, sama ada mereka masih hidup mahupun sudah meninggal dunia. Kalian adalah anak-anak mereka dan harapan mereka.

Di antara cara untuk mendapatkan anak yang soleh ialah jangan salah memilih isteri. Abul Aswad Ad-Du’ali, seorang alim pengasas ilmu nahu dan pakar dalam ilmu Bahasa Arab dari Bani Kinanah. 

Beliau berkata kepada anak lelakinya:

“Wahai anak-anakku, aku telah berlaku baik terhadap kalian pada saat kalian masih kecil sampai besar, bahkan sebelum kalian dilahirkan.

Anak-anaknya pun berkata, “Bagaimana ayah berbuat baik sebelum kami lahir? Ad-Duali menjawab, “Aku telah memilihkankan untukmu seorang ibu yang dapat  menjaga, mendidik dan tidak mensia-sia dan menyusahkankanmu.”””

Kesimpulannya

Rasulullah S.A.W mewasiatkan agar setiap Muslim memilih Muslimah solehah yang sekufu, cerdas,  berakhlak terpuji, berasal dari keluarga yang terpuji dan keturunan yang baik. Kerana semua itu akan sangat berpengaruh terhadap kesuksesan seorang anak dalam segala hal. Termasuk keistiqamahan dalam agama dan kehidupannya dan sebagai benteng dari tipu daya syaitan, hawa nafsu dan pengaruh jahat musuh-musuh Islam terhadap mereka.

Sayyidah Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Pilihlah wanita yang tepat untuk  meneruskan keturunanmu, maka nikahilah wanita-wanita yang sepadan atau sekufu dan hendaklah kalian menikahi mereka.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

 Dan akhirnya, ajarilah anak-anakmu mengenai agamanya. Antaranya seperti firman Allah S.W.T:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya…”

(Thaha: 132)

Perintah untuk menyuruh mereka melaksanakan solat diiringi dengan perintah bersabar dalam melakukannya. Perintah untuk bersabar dalam melaksanakan tugas ini lebih dari sekadar sabar biasa. 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Jagalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.”

(at-Tahrim: 6)

Menerusi ayat itu, Allah S.W.T mengingatkan, iman perlu dipelihara, dijaga dan dipupuk dengan cara menjaga keselamatan diri dan keluarga daripada api neraka.

Dan akhirnya, mendidik itu sebenarnya adalah hak ibu bapa. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tuanya yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

(Hadis Riwayat Imam Baihaqi dan Muslim)

Berdasarkan Hadis itu, emak dan ayah adalah orang pertama yang memberikan pelajaran kepada anaknya. Jika ditanam pada diri mereka ajaran dan nilai keislaman, maka mereka akan menjadi orang Islam yang terbaik serta istiqamah dan dapat menjadikan Islam sebagai satu cara hidup. Mereka adalah generasi pewaris perjuangan Rasulullah S.A.W ini. Aamiin

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -