Iktibar agung surah al-Isra’ (18)

- Advertisement -

ZAMAN Nabi Muhammad S.A.W dianggap sebagai zaman yang hebat berdasarkan Hadis yang sahih:

- Advertisement -

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

“Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”

(Riwayat al-Bukhari, 3651)

Menurut ulamak, zaman kegemilangan tersebut berlaku selama 300 tahun pertama dalam sejarah Islam iaitu 100 tahun semasa zaman Rasulullah S.A.W dan Khulafa’ Ar-Rasyidin, 100 tahun semasa zaman Tabi’in (orang yang tidak sempat bertemu dengan Baginda S.A.W namun sempat bertemu dengan Sahabat) dan 100 tahun lagi semasa zaman Tabi’ Al-Tabi’in.

Walau tiada satu pun kemajuan kebendaan pada zaman Rasulullah yang boleh dibanggakan namun zaman itu dianggap sebagai zaman yang terbaik. Sebab manusia hidup dengan agama. Jenayah tetap ada, oleh sebab itu, hukuman hudud berlaku seperti hukuman potong tangan terhadap pencuri, hukuman sebat terhadap peminum arak dan sebagainya, cuma peratusannya amatlah sedikit. 

Sepertimana orang Arab yang meminta supaya diruntuhkan langit secara berkeping-keping, Baginda Nabi perlu mempunyai kebun, rumah Baginda perlu mempunyai hiasan emas dan Baginda boleh naik ke langit. Semua ini adalah permintaan berbentuk kebendaan. 

Namun, ini bukan bermakna apabila menjalankan ajaran Islam, maka pembangunan tidak diperlukan. Pembangunan wujud selepas daripada itu yakni pada zaman kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah sehinggalah Islam boleh menguasai dunia. 

Zaman Nabi itu merupakan zaman yang terbaik walaupun terdapat orang-orang miskin. Ada kes di mana orang miskin suami isteri bersetubuh pada waktu siang hari pada bulan puasa. Hukuman yang diberitahu oleh Baginda kepada mereka adalah mengasingkan diri daripada tidur bersama dengan isteri selama dua bulan berturut-turut, jika tidak mampu perlu membebaskan seorang hamba, jika tidak mampu perlu memberi makan kepada enam puluh orang miskin. 

Namun jawapan mereka, merekalah orang yang paling susah di kampung tersebut. Baginda tersenyum lalu meminta Sahabat mendapatkan setandan buah tamar agar mereka dapat menjamu ahli keluarga mereka dan juga jiran jika terdapat lebihannya [1]. Pengajaran daripada kisah ini adalah ada orang yang hidupnya susah pada zaman Nabi yang tidak mampu pun untuk memberi makan kepada orang lain, walaupun mungkin pada pandangan kita, sepatutnya tiada langsung orang susah pada zaman Nabi.

Pembangunan dan kemajuan yang berasaskan agama akan memberikan manfaat kepada manusia namun jika sebaliknya, ia akan membawa kepada kehancuran. Walaupun negara-negara seperti Jepun, Korea dan China paling maju dan hebat dari segi sains dan teknologi tetapi merekalah yang paling teruk dari segi sosial seperti jenayah, seks, bunuh diri, orang tua terabai dan sebagainya. 

Di Jepun, ada satu tempat yang bernama Hutan Buluh. Di sinilah tempat orang membunuh diri disebabkan oleh tekanan hidup yang tinggi dan kos sara hidup yang tinggi. Di Korea pula, hubungan kekeluargaan semakin renggang dan semakin hilang sifat perikemanusiaan. Di Denmark, ada satu taman di tengah-tengah bandar di mana orang bebas tidak berpakaian. 

Justeru, negeri Kelantan berusaha untuk melaksanakan pembangunan yang berasaskan agama walaupun terdapat kekurangan dan kelemahan. Sepanjang dakwah Rasulullah S.A.W selama 23 tahun, Baginda tidak pernah membicarakan mengenai pembangunan tetapi pembentukan jati diri manusia itu sendiri. Sebab kita jualah yang akan melaksanakan pembangunan dan membangun melalui cara pemikiran kita sendiri sama ada sekular mahupun Islam. Oleh sebab itu, dasar yang diperkenalkan di negeri Kelantan adalah ‘Dasar Membangun Bersama Islam’.

Segala permintaan orang Arab kepada Rasulullah S.A.W adalah berbentuk kebendaan. Sepertimana ada dalam kalangan kita yang selalu menyebut sedemikian seolah-olah kita mempertikai agama kita sendiri tanpa kita sedar:

“Boleh gapo weyh kalu sokong demo? (Apakah yang bakal diperoleh sekiranya saya menyokong awak?)”

“Maju ko negeri ni kalu jjaley dengan Islam? (Adakah negeri boleh maju sekiranya Islam dijalankan?)”

“Setaro mano weyh ‘Membangun Bersama Islam’ tuh, moden ko, maju ko, panggung wayey pun takdop? (Setara mana ‘Membangun Bersama Islam’, adakah moden atau maju sedangkan panggung wayang pun tiada?)”

Antara masalah yang dihadapi apabila pemikiran kita tidak berasaskan agama adalah seperti berikut;

1. Tidak peduli akan solat, pendedahan aurat dan pergaulan bebas ketika bersukan.

2. Apabila jalan raya dibuat, perlumbaan haram pula berlaku.

3. Perbuatan tidak menunaikan solat dan melakukan amal buruk dianggap tiada masalah. 

Permintaan terakhir orang Arab adalah meminta supaya yang menjadi Nabi adalah malaikat. Namun, Allah mengutuskan manusia yang menjadi penghuni dunia sebagai Nabi. Tujuannya adalah untuk memberitahu kepada kita bahawa ajaran Islam sebenarnya boleh dilaksanakan. Sebab Nabi Muhammad merupakan manusia sama seperti kita, yang mempunyai nafsu, makan dan sebagainya. 

Para Sahabat juga daripada kalangan manusia dan mereka semua bukan asalnya baik seperti Sayyidina Umar, Abu Dzar Al-Ghifari yang menjadi samseng dan Thufail Ad-Dausi yang menjadi penyamun tepi jalan. Apabila mereka memeluk Islam, mereka meninggalkan perangai jahiliyah dan membangunkan masyarakat. Inilah kesinambungan perjuangan dan kita juga haruslah menyambungnya sehingga ke akhir supaya Kelantan dapat menjadi negeri Serambi Makkah seperti dahulu. 

Keinginan mencari kebenaran memandu hidayah Allah

قُلْ كَفٰى بِاللّٰهِ شَهِيْدًاۢ بَيْنِيْ وَبَيْنَكُمْۗ اِنَّهٗ كَانَ بِعِبَادِهٖ خَبِيْرًاۢ بَصِيْرًا

“Katakanlah (Muhammad), “Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu sekalian. Sungguh, Dia Maha Mengetahui, Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.””

(al-Israk: 96)

Ketika orang kafir sedang sibuk berbahas dan berhujah, Allah S.W.T berpesan kepada Baginda agar tidak usah lagi melayan kerenah mereka sebab mereka bukannya ingin mencari jawapan kebenaran. Setiap jawapan yang kita berikan akan diputarbelitkan oleh mereka. Hal ini kerana hati mereka sudah tidak mahukan kebenaran. 

Sepertimana ujian-ujian yang berlaku pada zaman Nabi Musa A.S. antaranya ialah:

1. Air Sungai Nil bertukar warna kepada merah ibarat darah.

Rakyat datang mengadu kepada Nabi Musa dan berjanji akan beriman kepadanya. Lalu, Baginda berdoa kepada Allah. Berkat doanya, air Sungai Nil kembali jernih. Namun, mereka tetap tidak beriman. 

2. Sekeliling rumah dipenuhi dengan katak.

Bermacam-macam ikhtiar dilakukan tetapi tidak berkesan hatta Kerajaan Firaun pun tidak dapat menyelesaikannya. Lalu, rakyat datang mengadu kepada Nabi Musa dan berjanji akan beriman kepadanya. Baginda berdoa dan dengan izin-Nya, katak hilang. Namun, mereka tetap tidak beriman. 

3. Dipenuhi pula dengan kutu.

Akhirnya, mereka juga tetap tidak beriman:

قُلْ كَفٰى بِاللّٰهِ شَهِيْدًاۢ بَيْنِيْ وَبَيْنَكُمْۗ اِنَّهٗ كَانَ بِعِبَادِهٖ خَبِيْرًاۢ بَصِيْرًا

“Katakanlah (Muhammad), “Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu sekalian. Sungguh, Dia Maha Mengetahui, Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.””

(al-Israk: 97)

Orang yang mendapat petunjuk ialah orang yang diberikan bimbingan oleh Allah S.W.T kerana dia berusaha untuk mencari kebenaran. Sebaliknya jika orang yang niatnya ingin melawan Nabi, Allah akan menyesatkannya. Untuk bertemu dengan kebenaran, ada yang diuji terlebih dahulu. Misalnya, seseorang itu pada zaman muda dahulu seorang yang berakhlak buruk, pada usia tuanya dia ditimpa penyakit. 

Kisah yang berlaku terhadap Yusuf Islam atau lebih dikenali sebagai Cat Stevens. Abangnya yang baru sahaja pulang dari Mesir menghadiahkan senaskhah al-Quran sempena hari kelahirannya. Dia mengambil dan menyimpannya. Beberapa tahun kemudian, dia dihanyutkan oleh ombak besar ke tengah laut semasa mandi di pantai. 

Dia menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa pun di situ pada ketika itu. Walaupun dia pandai berenang, tetapi dia berasa panik. Lalu, dia pun pasrah dan berserah kepada takdir. Dengan izin-Nya, dia dihanyutkan ke pantai semula. Dia termenung dan berfikir siapakah yang membantunya? Dia teringat akan al-Quran yang dihadiahkan oleh abangnya lalu dia membukanya. Dia membaca dan mengulang-ulang tafsiran sehingga hatinya terbuka. Dia mencari imam dan mengucap dua kalimah syahadah serta memeluk Islam. 

Ada pula yang hatinya tidak mahukan kebenaran. Beberapa pimpinan Quraisy pergi mendengar bacaan Rasulullah tiap-tiap malam secara bersembunyi [2]. Mereka ingin mendengarnya kerana bacaan Baginda yang ‘sedap’, bukan kerana mahu mencari kebenaran. Seperti dalam kalangan kita ada yang pergi mendengar ceramah bukan kerana mahu mendapatkan ilmu tetapi kerana mahu mencari kesalahan dalam penyampaian asatizah tersebut. 

Abdullah bin Ubay bin Salul merupakan pemimpin golongan munafik. Dia sentiasa menunaikan solat secara berjemaah bersama dengan Rasulullah dan berada di saf di belakang Baginda S.A.W. Namun, dia adalah seorang ketua munafik di Madinah sehingga ke akhir hayatnya. Oleh itu, sama-samalah kita sentiasa menjaga niat agar betul dan ikhlas. 

Peringatan kepada orang kafir; walaupun celik mata dan segar tubuh badan di dunia namun di akhirat nanti, Allah akan membangkitkan mereka dalam keadaan buta, pekak dan bisu kerana menentang dan melawan ajaran para Nabi:

ذٰلِكَ جَزَاۤؤُهُمْ بِاَنَّهُمْ كَفَرُوْا بِاٰيٰتِنَا وَقَالُوْٓا ءَاِذَا كُنَّا عِظَامًا وَّرُفَاتًا ءَاِنَّا لَمَبْعُوْثُوْنَ خَلْقًا جَدِيْدًا

“Itulah balasan bagi mereka, kerana sesungguhnya mereka kafir kepada ayat-ayat Kami dan (kerana mereka) berkata, “Apabila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk baru?””

(al-Israk: 98)

Cara mereka dibangkitkan sedemikian rupa adalah  disebabkan oleh kejahatan yang mereka lakukan di dunia. Mereka membangkitkan persoalan seperti dalam ayat di atas kepada Baginda S.A.W.

۞ اَوَلَمْ يَرَوْا اَنَّ اللّٰهَ الَّذِيْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضَ قَادِرٌ عَلٰٓى اَنْ يَّخْلُقَ مِثْلَهُمْ وَجَعَلَ لَهُمْ اَجَلًا لَّا رَيْبَ فِيْهِۗ فَاَبَى الظّٰلِمُوْنَ اِلَّا كُفُوْرًا

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa Allah yang menciptakan langit dan bumi adalah Maha Kuasa (pula) menciptakan yang serupa dengan mereka, dan Dia telah menetapkan waktu tertentu (mati atau dibangkitkan) bagi mereka, yang tidak diragukan lagi? Maka orang zalim itu tidak menolaknya kecuali dengan kekafiran.”

(al-Israk: 99)

Tiada masalah sebenarnya bagi Allah untuk melakukan sepertimana yang mereka mahukan. Malah kejadian yang lebih pelik bagi kita seperti kejadian langit, bumi, siang, malam, panas, hujan, kemarau, salji dan sebagainya. Hatta pepohon hijau sekalipun yang menumbuh di Tanah Arab seperti yang disebutkan dalam satu Hadis: 

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ الْمَالُ وَيَفِيضَ حَتَّى يَخْرُجَ الرَّجُلُ بِزَكَاةِ مَالِهِ فَلاَ يَجِدُ أَحَدًا يَقْبَلُهَا مِنْهُ وَحَتَّى تَعُودَ أَرْضُ الْعَرَبِ مُرُوجًا وَأَنْهَارًا »

“Dari Abu Hurairah R.A diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : “Kiamat tidak akan terjadi sampai harta banyak dan melimpah, hinggakan seseorang mengeluarkan zakat hartanya namun ia tak menemukan orang yang menerimanya, dan sehingga Tanah Arab kembali dipenuhi kebun-kebun dan sungai-sungai”.”

(Hadis Riwayat Muslim, 157)

قُلْ لَّوْ اَنْتُمْ تَمْلِكُوْنَ خَزَاۤىِٕنَ رَحْمَةِ رَبِّيْٓ اِذًا لَّاَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ الْاِنْفَاقِۗ وَكَانَ الْاِنْسَانُ قَتُوْرًا ࣖ

“Katakanlah (Muhammad), “Sekiranya kamu menguasai perbendaharaan rahmat Tuhanku, nescaya (perbendaharaan) itu kamu tahan, kerana takut membelanjakannya.” Dan manusia itu memang sangat kikir.”

(al-Israk: 100)

Jika orang-orang kafir menguasai khazanah-Nya, nescaya mereka akan bersifat kedekut dan tidak mahu berbelanja. Berbeza dengan Allah S.W.T yang tidak kedekut dengan kita. Justeru, orang kafir juga memperoleh nikmat kekayaan dan kesenangan melebihi daripada orang Islam. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang:

وَلَقَدْ اٰتَيْنَا مُوْسٰى تِسْعَ اٰيٰتٍۢ بَيِّنٰتٍ فَسْـَٔلْ بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ اِذْ جَاۤءَهُمْ فَقَالَ لَهٗ فِرْعَوْنُ اِنِّيْ لَاَظُنُّكَ يٰمُوْسٰى مَسْحُوْرًا

“Dan sungguh, Kami telah memberikan kepada Musa sembilan mukjizat yang nyata maka tanyakanlah kepada Bani Israil, ketika Musa datang kepada mereka lalu Fir‘aun berkata kepadanya, “Wahai Musa! Sesungguhnya aku benar-benar menduga engkau terkena sihir.””

(al-Israk: 101)

Antara mukjizat Nabi Musa ialah kitab Taurat, tongkat yang mampu membelah laut dan berubah menjadi ular yang besar, tangan bercahaya, paceklik, terbelahnya laut, banjir, belalang, kutu, katak dan darah. Firaun mengira kesemuanya ini adalah sihir. Maka, dia mencabar Nabi Musa untuk berlawan dengannya. 

Firaun memanggil semua tukang sihirnya dan keluarlah ular-ular yang menggerunkan hati Nabi Musa. Allah meminta supaya Nabi Musa mencampakkan tongkatnya sehingga ia bertukar menjadi ular yang lebih besar daripada yang lain. Kejadian itu membuatkan tukang sihir Firaun terkejut dan menganggap itu bukanlah sihir. Akhirnya, mereka beriman kepada Nabi Musa dan juga Nabi Harun. Firaun berasa marah kerana mereka beriman tanpa meminta izinnya. Hukumannya ialah mereka akan disalib, namun mereka tetap beriman sehingga ke akhir hayat kerana mempercayai kebenaran:

قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَآ اَنْزَلَ هٰٓؤُلَاۤءِ اِلَّا رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ بَصَاۤىِٕرَۚ وَاِنِّيْ لَاَظُنُّكَ يٰفِرْعَوْنُ مَثْبُوْرًا

“Dia (Musa) menjawab, ”Sungguh, engkau telah mengetahui, bahawa tidak ada yang menurunkan (mukjizat-mukjizat) itu kecuali Tuhan (yang memelihara) langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata; dan sungguh, aku benar-benar menduga engkau akan binasa, wahai Fir‘aun.””

(al-Isra’: 102)

فَاَرَادَ اَنْ يَّسْتَفِزَّهُمْ مِّنَ الْاَرْضِ فَاَغْرَقْنٰهُ وَمَنْ مَّعَهٗ جَمِيْعًاۙ

“Kemudian dia (Fir‘aun) hendak mengusir mereka (Musa dan pengikutnya) dari bumi (Mesir), maka Kami tenggelamkan dia (Fir‘aun) beserta orang yang bersama dia seluruhnya.”

(al-Isra’: 103)

Firaun merancang untuk menghapuskan Nabi Musa dan Bani Israel. Bani Israel ditempatkan oleh Firaun di satu bandar yang khas. Apabila berita itu sampai kepada Nabi Musa, Baginda mengarahkan mereka, anak dan isterinya untuk keluar dari Mesir. Kuda Firaun mengejar mereka lalu Allah meminta supaya Nabi Musa memukul tongkatnya ke dalam laut. 

Laut pun terbelah dan berpecah menjadi 12 lorong. Setiap kabilah diarahkan untuk memasuki setiap lorong. Tentera Firaun juga memasukinya lalu air yang beku menjadi cair semula. Tentera Firaun akhirnya mati sementara pengikut Nabi Musa terselamat. Inilah kuasa Allah yang harus kita yakini dan janganlah takut kepada musuh yang menentang kita. Walaupun musuh mempunyai alatan canggih yang mencukupi tetapi jika kita berada di jalan yang betul, istiqamah dan ikhlas dalam usaha memperjuangkan agama, akan tiba masanya nanti Islam akan menang.

Seperti yang berlaku di Turki Uthmaniyah. Orang yang mengasaskan Kerajaan Turki ialah orang yang berasal daripada pergunungan di sempadan Mongolia. Uthman yang merupakan pengasas Kerajaan Turki, pusat kerajaan terawal berada di Bursa, menyatukan semua kabilah untuk menentang bangsa Mongol. Ini menunjukkan bahawa tempoh perjuangan yang begitu lama diusahakan dan pelbagai kesusahan terpaksa ditempuhi. Allah sudah pun menyebut bahawa akan tiba masanya orang akan menerima Islam. Kemudian, dunia akan menghampiri fasa kiamat. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 7 November 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 11/11/2022

Rujukan:

[1] Kisah ini berdasarkan Hadis Muttafaqun Alaih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (1936) dan Muslim (1111).

[2] Sirah Ibnu Hisyam, jilid  1, m/s 315.

- Advertisement -