Petugas PN terima layanan lebih baik berbanding PRU14

Md Anuar Daud
- Advertisement -

KUALA KRAU: Layanan yang diterima petugas kempen dan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada sebahagian besar rakyat Pahang lebih baik berbanding yang dihadapi petugas PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

- Advertisement -

Calon PERIKATAN NASIONAL DUN Jenderak, Ustaz Md Anuar Daud berkata, selain maklum balas positif, beliau melihat gelombang PN di peringkat kerajaan Pusat dan negeri diterima baik oleh penduduk di DUN berkenaan.

Menurutnya, kerjasama di peringkat komponen parti dalam PERIKATAN NASIONAL juga lancar dan saling bantu-membantu dalam tugas-tugas kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Peringkat DUN Jenderak sendiri, wujud kerjasama yang sangat baik antara kita (PAS) dan Bersatu, sebab di Jenderak ada 11 UDM (Unit Daerah Mengundi), yang mana ada UDM yang PAS tiada cawangan.

“Jadi kekurangan itu dibantu oleh Bersatu, mereka yang menggerakkan UDM tersebut. Alhamdulillah setakat ini, dari sudut gerak kerja dan sebagainya, kami mendapat kerjasama yang sangat baik dari Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semasa menghadiri program perlawanan persahabatan bola sepak bersama anak-anak Orang Asal di Padang Awam Kampung Paya Luas, di sini, petang semalam. Turut serta ialah calon PERIKATAN NASIONAL bagi Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari.

Sementara itu kata Md Anuar, walaupun program bersama pengundi Cina di sekitar Dun Jenderak kurang, namun beliau dapat melihat kelainan layanan yang diterima pasukan kempennya berbanding semasa PRU14.

“Sepanjang kita pergi ziarah, edar flyer, penerimaan dia agak baik dan berbeza dengan PRU14 dahulu di mana apabila kita pergi dia buat macam tak tahu.

“Tapi kali ini, dia boleh borak-borak, dia kata boleh bagi undi, moga-moga apa yang dia cakap itu dia buatlah,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau.

Malah, penerimaan anak muda juga, katanya berlainan apabila beliau berkempen melalui PERIKATAN NASIONAL.

“Sebelum ini pada PRU14, penerimaan anak muda terhadap PAS itu seolah-olah ada satu halangan bagi mereka untuk mendekati kita.

“Mereka macam malu-malu, tetapi apabila bersama dengan PERIKATAN NASIONAL ini, memang nampak sangat mereka menonjolkan diri, sampaikan baju dan vest PN tidak cukup, sekarang pun masih minta. Ini bermakna sambutan dari anak muda itu sangat menggalakkan.

“Cuma kita bimbang pada Undi 18 kerana Undi 18 ini masih lagi kosong, malah sebelah sana pun mereka sedang giat menganjurkan program di bawah PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), dia kumpul anak-anak 18 tahun dan tingkatan 6, buat program, kemudian berkempen dalam itu. Sekarang ini kita sedang mencari cara untuk kaunter balik,” katanya.

Di samping itu, beliau juga berharap pengundi Dun Jenderak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai warga Malaysia untuk mengundi dan beri peluang kepada PERIKATAN NASIONAL untuk mentadbir Pahang kali ini.

“Kalau sebelum ini kita sudah lihat bagaimana pemerintahan daripada BN sendiri, kemudian pemerintahan daripada PH, apa salahnya kali ini kita beri peluang kepada PN?

“Pemerintahan PN telah terbukti keberkesanannya ketika era pandemik Covid-19 apabila kerajaan PN berjaya menguruskan negara dalam keadaan situasi yang sangat buruk.

“Insya-Allah, inilah pilihan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia, khususnya di Dun Jenderak ini untuk sama-sama kita bentuk kerajaan yang bersih dan stabil. Insya-Allah,” katanya.

Md Anuar akan berdepan dengan calon PH, Mohamad Hafez Harun dan Rodzuan Zaaba (BN). Pada PRU14 lalu, Datuk Seri Mohamaed Jaafar daripada BN menang dengan majoriti 1,713 undi. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -