769 orang bakal terima darjah kebesaran Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 769 orang bakal menerima darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-53 tahun ini.

- Advertisement -

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad berkata, istiadat akan berlangsung di Istana Balai Besar Kota Bharu di sini pada jam 9 pagi Sabtu ini.

Katanya menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Sultan Muhammad V akan melantik dua individu menjadi Jaksa Pendamai sempena perayaan ulang tahun pada 2022.

“Baginda berkenan mengurniakan gelaran kepada lapan orang dan 356 orang bagi Darjah Kebesaran, penerima Bintang-bintang seramai 240 orang dan pingat-pingat berjumlah 165 orang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengelola Istana D’Raja Kelantan Dato’ Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Kelantan Mejar Jeneral (B) Dato’ Mamat Ariffin Abdullah.

Bagaimanapun beliau berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan pingat-pingat berkenaan akan diadakan dua sesi iaitu sesi pertama seramai 114 orang.

Manakala sesi kedua pula akan diadakan pada satu tarikh yang diperkenankan oleh Sultan Muhammad V dan akan dimaklumkan kemudian.

Perayaan menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan meliputi istiadat seperti Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Muhammadi Kota Bharu dan semua masjid-masjid daerah pada Khamis.

Majlis Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat di Padang Merdeka, Kota Bharu diadakan sebelum majlis kurniaan. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -