Ahli PAS bantu parti lawan berdepan tindakan disiplin

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS memberi amaran mana-mana ahli yang didapati membantu pihak lawan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berdepan tindakan disiplin atau dipecat.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bab 4 Perlembagaan PAS menyebut seseorang ahli PAS dianggap melanggar disiplin jika melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.

“Saya memberi amaran berdasarkan perlembagaan berkenaan, mana-mana ahli yang membantu pihak lawan akan dikenakan tindakan disiplin.

“Kalau ahli membantu calon parti lain yang menentang PAS dalam pilihan raya, jelas individu berkenaan melakukan kesalahan dan akan dipecat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parlimen Kota Bharu di sini hari ini. (Foto atas)

Sebelum ini, dua bekas pemimpin PAS iaitu Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi masing-masing bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Nerus dan Tumpat pada PRU15.

Takiyuddin yang juga penyandang Parlimen Kota Bharu berkata, keahlian seseorang ahli PAS boleh terhenti atas permintaan sendiri seperti keluar parti dan ahli-ahli yang dikenakan tindakan tatatertib.

“Keahlian secara automatik terhenti sekiranya ahli terbabit mengisytiharkan keluar PAS atau menyertai parti politik lain mengikut Fasa 15(1)(c) Perlembagaan PAS.

“Dan sekiranya ingin kembali menjadi ahli PAS, mereka perlu mohon semula dengan mengisi borang berkaitan,” ujarnya.

Takiyuddin menambah, setiap ahli PAS diberi ruang memberi penjelasan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

Pada PRU15 ini, beliau dicabar empat calon iaitu Dr Hafidzah Mustakim (PH), Datuk Rosmadi Ismail (BN), Andy Tan @ Awang (PRM) dan Prof Datuk Dr Che Musa Che Omar (PUTRA). – HARAKAHDAILY 7/11/2022

- Advertisement -