Adun pembangkang ditempelak buat dakwaan tidak berasas

- Advertisement -

ALOR SETAR: Adun Pejuang dari Jitra Dato’ Seri Mukhriz Mahathir ditempelak apabila mendakwa kononnya kerajaan negeri menuntut RM95 bilion daripada kerajaan Pusat.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan itu jelas menyimpang daripada perkara sebenar.

Sedangkan kata beliau kerajaan negeri tidak pernah meminta wang dari mana-mana pihak seperti dimaksudkan Adun Jitra.

“Saya dengar dia cakap walaupun waktu itu saya tiada dalam dewan. Saya tanya dia dari mana dapat maklumat itu. Dia jawab dari portal tempatan. Saya cari tak ada pun.

“Gambaran yang dibuat Adun Jitra itu seolah-olah anak penoreh getah seperti saya tidak tahu bercakap dan tidak pandai mentadbir,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Menteri Besar berkata, RM95 bilion yang dimaksudkan sebenarnya jumlah perbelanjaan kerajaan Pusat untuk projek pembangunan pada tahun 2023 untuk enam negeri termundur di Malaysia.

Kata beliau juga perkara seperti itu menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia ketika pentadbiran PERIKATAN NASIONAL (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang saya tanya itu, nak tahu dari RM95 bilion itu berapa pula pecahan diberi kepada Kedah bukannya saya tuntut RM95 bilion,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri mengamalkan sistem pengurusan secara telus ‘on the table’.

Beliau juga menjelaskan pelaburan Widad Langkasuka sebanyak RM40 bilion yang ‘merisaukan’ pembangkang ditentukan pelabur dan bukannya kerajaan negeri.

Lagi pun katanya pelaburan itu mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun.

“Kerajaan negeri sentiasa membuka jalan kepada mana-mana pihak untuk datang melabur yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri.

“Tak perlu ‘under table’, semuanya on the table. Elak ‘ekonomi gelap’ yang boleh mengganggu sistem kewangan negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2022

- Advertisement -