PERIKATAN NASIONAL bakal terajui Pahang

- Advertisement -

PAS menghormati kekuatan antara parti dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL di sesebuah negeri. Ini berdasarkan jumlah kerusi yang lebih banyak dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Di Pahang, PAS telah memenangi lapam kerusi pada PRU14 dan mempunyai jentera di seluruh negeri. Berikut ialah petikan wawancara Pengarang Harakah, SAIDAH HAIRAN bersama Pesuruhjaya PAS Pahang, USTAZ ROSLI ABDUL JABAR di Kuantan, baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakah: Bagaimana hubungan PAS, Bersatu dan Gerakan di Pahang?

Ustaz Rosli: Alhamdulillah, setakat ini hubungan di antara PAS, Bersatu dan Gerakan Pahang dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN), baik. Semua urusan politik terutama sekali dari sudut pembahagian kerusi dan kerjasama dalam program-program yang melibatkan PERIKATAN NASIONAL dapat berjalan dengan baik. Dari sudut perbincangan pembahagian kerusi juga dapat diselesaikan dengan baik dan sangat harmoni.

Berapa pembahagian kerusi untuk PAS, Bersatu dan Gerakan. Begitu juga jumlah kerusi fokus DUN dan Parlimen PAS?

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN. PAS bertanding 24 kerusi, Bersatu 12 dan Gerakan 6 kerusi. Sementara kerusi Parlimen, PAS bertanding 7 kerusi, Bersatu juga 7 kerusi. Gerakan sebelum ini kita bagi kerusi tetapi mereka menolak dan serahkan kepada pihak perunding kerusi.

Kira di Pahang PAS lebih banyak kerusi…

Ya, kerana menilai kepada kekuatan PAS itu sendiri di Pahang. Selain itu, PAS sudah sedia ada lapan wakil rakyat dari penggal lalu dan dinilai dari sudut kekuatan jentera PAS di Pahang. Sama seperti di Johor, kita kira negeri itu adalah negeri Bersatu berdasarkan pada jumlah kerusi yang mereka menangi pada PRU14 yang lalu. PAS ambil kerusi 15 DUN sahaja berbanding Bersatu 38 kerusi DUN. Begitu juga di Melaka, PAS hanya bertanding lapan kerusi dan selebihnya Bersatu yang lebih dominan.

Kita menghormati mereka di tempat mereka lebih kuat, seperti Melaka dan Johor. Di Pahang, selain dari PAS telah memenangi lapan kerusi pada PRU ke-14, berbanding Bersatu, PAS juga mempunyai jentera pilihan raya di seluruh negeri Pahang. Kita berterima kasih kepada Bersatu kerana menghormati dan meraikan PAS, Alhamdulillah.

Bagaimana persediaan daripada sudut calon-calon yang PAS Pahang tampilkan? 

Alhamdulillah…kita di Pahang telah selesai meletakkan calon-calon di semua DUN PAS bertanding. Calon-calon yang kita pilih, pertama adalah pilihan di pihak PAS kawasan. Kita di Pahang hanya akan memilih calon yang dipilih oleh PAS kawasan sahaja. Di samping itu, kita sediakan kriteria calon yang kita kehendaki.

Alhamdulillah, saya kira kita turunkan calon yang terbaik pada pilihan raya umum tahun ini dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran juga melibatkan kalangan melibatkan muslimat dan pemuda. Kami sangat bersedia untuk menurunkan calon-calon yang berwibawa terutama di peringkat DUN iaitu sebanyak 24 kerusi yang PAS tandingi. Di mana tema PRU kali ini ‘PN Terajui Pahang’. Asalnya ‘PAS Terajui Pahang’ tetapi bila kita bersama dengan PERIKATAN NASIONAL (PN), kita angkat sebagai slogan PRU ke-15 bersama PERIKATAN NASIONAL iaitu ‘PN Terajui Pahang’.

Tema ini kali kedua kita bawa. Kali pertama PAS Terajui Pahang pada PRU ke-14. Penting tema ini kerana ia menjadi dasar dan hala tuju gerak kerja. Matlamatnya untuk kita mencapai kemenangan dan seterusnya menerajui negeri Pahang.

Insya Allah.. kita cuba untuk terajui Pahang. Kita menurunkan calon yang bersesuaian dengan tema tersebut. Ertinya kita turunkan calon yang bersedia untuk menjadi pemerintah di negeri Pahang. Ini kita punya persediaan daripada sudut calon. – HARAKAHDAILY 30/10/2022

- Advertisement -