Qisas dikenakan walaupun kepada mereka yang berjasa kepada Islam

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 54)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

IBN ASAKIR mengeluarkan daripada Al-Harmawi, katanya: Umar al-Khattab menulis surat kepada Fairuz ad-Dailami (Beliau berbangsa Parsi yang pernah memerintah Yaman, kemudian masuk Islam):
‘Sampai kepadaku bahawa engkau sibuk makan roti putih dengan madu. Apabila suratku ini sampai, engkau mesti datang kepadaku dan engkau mesti berperang di jalan Allah.’

Fairuz datang. Beliau meminta izin masuk kepada Umar. Umar izinkan. Seorang pemuda Quraisy bertolak-tolak dengannya. Fairuz mengangkat tangannya, lalu menampar hidung pemuda Quraisy. Pemuda Quraisy masuk kepada Umar dalam keadaan hidung berdarah.

Umar bertanya: ‘Siapa yang buat kamu? Jawabnya: ‘Fairuz. Dia ada di pintu.’

Fairuz diizin masuk. Umar bertanya: ‘Apa ini Fairuz?’

Fairuz menjawab: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Kami baru sahaja meninggalkan sistem beraja. Engkau tulis surat kepadaku, sedangkan engkau tidak tulis surat kepadanya. Engkau izinkan aku masuk, sedangkan engkau tidak izin kepadanya. Dia mahu masuk sebelumku. Maka apa yang kamu lihat, macam dia beritahu itulah.’

Umar membalas: Qisas.

Fairuz bertanya: Tak dapat tidak?

Umar menjawab: Tak dapat tidak.

Fairuz duduk di atas dua lututnya. Pemuda Quraisy berdiri untuk membalasnya.

Tiba-tiba Umar berkata: ‘Tunggu dulu wahai pemuda hingga aku beritahu kamu sesuatu yang aku dengar daripada Rasulullah SAW. Aku dengar Baginda bersabda pada suatu hari: ‘Dibunuh pada malam ini seorang yang digelar Al-Aswad al-Ansi al-kazzab (iaitu seorang yang berkulit hitam yang mendakwa dirinya Nabi). Dia dibunuh oleh seorang yang soleh, Fairuz ad-Dailami. Adakah kamu melihat kamu akan nembalasnya selepas kamu dengar perkara ini dari Rasulullah SAW?’

Pemuda itu berkata: ‘Aku maafkannya selepas engkau beritahuku tentang ini.’

Fairuz berkata kepada Umar: ‘Adakah engkau lihat ini kesannya dari perbuatanku? Aku mengaku salah, dan dia maafkan aku tanpa dipaksa?’

Umar menjawab: Ya.

Fairuz berkata: ‘Aku menyaksikan bahawa pedangku, kudaku dan 30 ribu hartaku ini diberi kepadanya.’

Umar menjawab: ‘Kemaafanmu dibalas, wahai pemuda Quraisy, dan engkau mendapat harta.’

(Hayatussahabah, Al-Kandahlawi 2/99-100)

Kisah ini mengajarkan kita banyak perkara, antaranya:

1- Bangsa Parsi asalnya beragama Majusi yang nenyembah api. Bila cahaya hidayah datang, cahaya itu boleh memadamkan api. Oleh itu, dakwah dan penerangan mengenai Islam mesti berterusan tanpa henti.

2- Umar al-Khattab sensitif terhadap pegawainya yang kelihatan bermewah-mewah lebih dari orang lain.

3- Mereka yang dianggap bersalah boleh mengemukakan alasan bahawa mereka tidak bersalah sebenarnya.

4- Umar tetap mengenakan hukuman qisas, iaitu balasan setimpal apabila ia dilihat mesti dibuat, tanpa mengira kedudukan seseorang.

5- Orang yang disebut baik oleh Nabi tentunya ada kelebihan, di akhirat atau di dunia. Di akhirat ia terlepas dari azab. Di dunia ia terlepas dari qisas apabila dimaafkan.

6- Seseorang yang memaafkan orang lain, dia mendapat pahala dan tidak mustahil, dia juga mendapat balasan duniawi yang segera.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 27/10/2022

- Advertisement -