RAMAI pihak dengan megahnya mengatakan merekalah juara terpaling berkebajikan buat rakyat.
Bahkan ada pemimpin ‘muda’ yang sanggup memperlekehkan parti lain selain parti mereka kononnya parti lain tidak mementingkan kebajikan.
PAS antara yang menerima tohmahan ini. PAS dianggap hanya pentingkan ceramah agama. Ini adalah amat meleset sama sekali.
Pernah dengar Jabatan Amal Malaysia? Atau mungkin pernah tengok abang-abang pakai baju maroon sewaktu bencana alam menimpa tempat anda?
Kemungkinan besar itulah Jabatan Amal Malaysia bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia!
Anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) atau gelaran terkenalnya ‘Semut Merah’ adalah sebuah unit beruniform di bawah jemaah PAS yang berfokuskan kepada gerak kerja ‘disaster relief’, pengurusan lalu lintas , keselamatan sesuatu program dan banyak lagi.
Sukarelawan JAM bukan sahaja terdiri daripada marhaen biasa, bahkan disertai pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada teknokrat, doktor perubatan, akauntan, bahkan turut ditunjangi OKU.
Itulah istimewanya JAM. Beramal demi Allah. JAM sentiasa bersedia membantu dan menggerakkan kerja menyelamat dan bantuan bencana. Sebutlah mana-mana pun bencana besar, Insya-Allah ‘Semut Merah’ akan turun.
Antaranya sewaktu banjir di Yan 2021, lebih 3,000 anggota Jabatan Amal turun menjalankan kerja-kerja bantuan. Ada yang sanggup mendaki Gunung Jerai demi membekalkan akses air bersih kepada mangsa banjir.
Sewaktu banjir besar yang menimpa negara hujung tahun lepas pula. Sekitar 6,457 mangsa banjir di Selangor dan Pahang telah berjaya diselamatkan oleh anggota ‘Semut Merah’.
Banjir di Baling pada Jun lepas pula mencatatkan lebih 1,088 anggota ‘Semut Merah’ terjun ke lapangan membanting tulang berkhidmat.
Insya-Allah setiap kali ada bencana, PAS pasti menghantar bantuan dengan segenap kudrat yang termampu.
PAS bukanlah hendak mendabik dada kononnya sebagai parti terpaling cakna kebajikan. Tetapi tidak boleh dinafikan, PAS dan kebajikan tidak boleh dipisahkan!
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 27/10/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!