PN umum Radzi Jidin calon di Putrajaya

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin sebagai calon PN untuk kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurut Muhyiddin, pengumuman itu untuk mengesahkan Dr Radzi sebagai calon PN di Putrajaya yang sebelum ini hanya menjadi khabar angin.

“Saya umumkan awal-awal lagi, selepas ini kita mahu minta dia buat kerja. Jadi malam ini sahih bukan uar-uar, bukan khabar-khabar tetapi sahih diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Dr Radzi Jidin, calon kita di Putrajaya.

“Saya tidak tahu siapa mahu lawan, lawanlah. Tetapi saya ingin beri nasihat sikit kepada kawan saya Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor). Ku Nan telah buat sesuatu di Putrajaya, tetapi cukuplah Ku Nan.

“Sekarang adalah masanya untuk perubahan, dan perubahan itu akan berlaku dengan PN di bawah Datuk Dr Radzi Jidin,” katanya semasa berucap sempena Program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 16, di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Pada PRU lalu, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun tewas kepada Tan Sri Annuar Musa sebelum dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018.

Tengku Adnan pula mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan PKR Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan antara tawaran PN jika dipilih sebagai kerajaan adalah mewujudkan satu skim insurans kesihatan yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah.

Katanya, tawaran itu dibuat mengambil kira situasi dan masalah dihadapi rakyat yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan kesihatan di hospital.

“Disebabkan kita berhadapan dengan masalah sekarang ramai rakyat jatuh miskin, mereka mungkin tidak mampu untuk bayar yuran apabila pergi ke hospital, apalagi hospital swasta.

“Saya sedang berfikir, sebagai contoh, kita hendak menawarkan satu bentuk insurans yang mampu dimiliki oleh setiap orang dalam kategori B40.

“Rakyat boleh pergi ke hospital kerajaan, mahupun swasta dan akan mendapat rawatan yang terbaik,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2022

- Advertisement -