Rishi Sunak menjadi PM ketika Britain berdepan cabaran besar

Rishi Sunak
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

LONDON: Rishi Sunak akan menjadi Perdana Menteri bukan kulit putih pertama Britain pada hari ini, selepas memenangi perlumbaan menerajui Parti Konservatif yang ditugaskan untuk mengemudi negara yang kini berpecah belah menghadapi kemelesetan ekonomi.

- Advertisement -

Antara ahli politik terkaya di Westminster, Sunak, 42, akan menjadi pemimpin termuda negara itu pada zaman moden dan yang ketiga dalam tempoh kurang dua bulan ketika antara era paling bergelora dalam sejarah politik Britain.

Menggantikan Liz Truss yang hanya bertahan 44 hari sebelum meletakkan jawatan, Sunak perlu memulihkan kestabilan negara yang terhuyung-huyung akibat kegawatan politik dan ekonomi selama bertahun-tahun serta berusaha untuk memimpin parti yang retak mengikut garis ideologi.

Beliau memberitahu Ahli Parlimen semalam bahawa mereka sedang menghadapi “krisis yang nyata” dan mesti “bersatu atau mati”. Beliau memberitahu negara itu menghadapi “cabaran ekonomi yang mendalam”.

“Kita memerlukan kestabilan dan perpaduan. Saya akan menjadikannya sebagai keutamaan untuk membawa parti dan negara kita bersama,” katanya.

Jutawan dana lindung nilai itu dijangka membuat pemotongan perbelanjaan yang mendalam untuk cuba membina semula reputasi fiskal Britain, ketika negara itu terjerumus ke dalam kemerosotan paling teruk dalam beberapa dekad, terjejas dengan kos tenaga dan makanan yang melonjak.

Belanjawan mini Truss baru-baru ini, mencetuskan keributan ekonomi, menaikkan kos pinjaman dan kadar gadai janji, serta menyebabkan pelabur melarikan diri. Bon kerajaan British meningkat secara agresif menjelang kemenangan Sunak dan meneruskan keuntungan pada hari Isnin.

Sunak yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Raja Charles pada hari ini juga perlu bekerja keras untuk menyatukan parti politik dominan Britain itu selepas beberapa pihak menuduhnya melakukan khianat pada awal tahun ini apabila meletak jawatan dari Kabinet Johnson.

Pemimpin Konservatif lain pula berkata Sunak terlalu kaya untuk memahami tekanan ekonomi harian yang semakin meningkat di Britain dan bimbang sama ada, beliau boleh memenangi pilihan raya untuk parti yang telah berkuasa selama 12 tahun.

“Saya fikir keputusan ini membenamkan kita sebagai parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” kata seorang pemimpin Konservatif yang enggan namanya disiarkan.

Britain terperangkap dalam keadaan krisis perma sejak pengundian pada 2016 untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, mencetuskan pertempuran di Westminster mengenai masa depan negara yang masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini.

Johnson mengetuai partinya mencapai kemenangan besar pada 2019, hanya untuk disingkirkan daripada jawatan kurang tiga tahun kemudian selepas beberapa siri skandal. Penggantinya Truss bertahan lebih enam minggu sebelum beliau juga dipaksa keluar.

Ahli sejarah dan biografi politik, Anthony Seldon, berkata Sunak menghadapi warisan ekonomi dan politik yang paling sukar berbanding mana-mana pemimpin British sejak Perang Dunia Kedua dan dikekang oleh kesilapan yang dibuat oleh Truss sebelum ini.

- Advertisement -