NGO perlu kemuka bukti dakwaan berlaku pencemaran

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Mana-mana pihak wajar mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa berkaitan sebarang isu termasuk pencemaran dan bukannya sekadar melontar di media sosial.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa berlaku pencemaran akibat aktiviti perlombongan boleh membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Sepatutnya dia kena buat report kalau betul mereka ada bukti kepada pihak berkuasa JAS dan PTG bagi membolehkan tindakan lanjut diambil agensi terbabit.

“Kalau setakat menulis dalam Facebook tidak memberi kesan, sebab kita pun tidak tahu benda yang didakwa itu betul atau pun tidak, ada lesen atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) malam tadi.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pada 12 Oktober lalu sebuah NGO berkaitan Orang Asli mendakwa aktiviti perlombongan di Sungai Wias menyebabkan aliran sungai itu tercemar dan tidak boleh digunakan untuk kegunaan harian.

Dakwaan yang disiarkan Facebook Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan yang mendakwa pencemaran menjadi punca kegatalan kulit penduduk yang menggunakan sumber air terbabit.

Mohd Amar juga berkata kerajaan negeri tidak pernah memberi kelulusan kepada syarikat perlombongan emas untuk mengeluarkan bahan bernilai itu di sungai terbabit.

“Setakat yang saya tahu tidak ada lesen melombong di kawasan itu, tidak pernah dikeluarkan lesen untuk melombong di sungai terbabit.

“NGO yang mendakwa pencemaran itu kena ada maklumat yang jelas bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. Boleh buat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2022

- Advertisement -