Jualan terus dari ladang catat RM16.17 juta

- Advertisement -

JASIN: Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) mencatatkan jualan terkumpul RM16.17 juta setakat September lepas di seluruh negara.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata jumlah itu amat memberangsangkan berbanding sasaran awal RM10.5 juta.

Beliau berkata jumlah itu membabitkan kuantiti jualan sebanyak 3,105 tan metrik barangan keperluan seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan, membabitkan 1,025 program yang dilaksanakan untuk usahawan memasarkan hasil pertanian secara terus kepada pengguna.

“Sehingga kini terdapat 10,400 usahawan JTDLKM termasuk di Sabah dan Sarawak yang masih aktif dan kita jangka nilai jualan itu terus meningkat berbanding tahun lepas iaitu kira-kira RM10 juta berikutan kekangan sekatan pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program itu dan Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I Datuk Seri Ahmad Hamzah di pekarangan Masjid Al-Hassanah Sungai Rambai di sini.

Abdul Rashid berkata program selama dua hari itu melibatkan 32 usahawan dengan sasaran 3,000 pengunjung selain menawarkan tawaran diskaun sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih.

Dalam pada itu beliau berkata FAMA melaksanakan 150 program JMKM di Melaka membabitkan jualan RM6 juta sejak diperkenalkan Ogos lepas.

“Menerusi program itu pengguna ditawarkan potongan 20 peratus bagi pembelian barangan keperluan manakala untuk program hari ini, pengunjung boleh mendapatkan ‘kombo’ berharga RM20 untuk pembelian gula, tepung, beras dan minyak masak,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -