Veteran bimbang Umno tidak mampu bentuk kerajaan

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

- Advertisement -

SEHARI dua ini awan gelap menutup langit biru. Langit diseliputi awam hitam. Mendung memanjang. Lalu tanya orang kampung hendak keluar mengundi macam mana.

Kalau hujan renyai-renyai, bolehlah bawa payung. Bagaimana kalau ribut, pokok tumbang, air melimpah dan arus deras pada hari mengundi. Nak salahkan siapa.

Jangan pula disalahkan Ismail Sabri hari-hari terakhirnya sebagai perdana menteri ke-9. Tiba-tiba ramai simpati terhadap nasib Ismail. Beliau dilihat seperti dibuli. Mudah cerita menjadi mangsa keadaan.

Kalau masih sangsi cuba belek laporan media. Selepas balik Istana Negara, perdana menteri terpaksa mengadap pula presiden parti.

Pada 6 Oktober lepas banyak media melapor begitu. Ismail Sabri bertemu dengan Ahmad Zahid selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Ismail Sabri tiba di ibu pejabat Umno di Menara Dato Onn bagi mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid,” lapor media.

Ia secara tidak langsung memperlihatkan Umno masih belum berubah. Pendekatan politik masih di era lama. Mereka tidak dapat menerima hakikat Naib Presiden parti dilantik sebagai perdana menteri.

Mereka enggan mencipta sejarah baharu. Sedangkan kajian, pemerhatian sarjana dan tokoh veteran sukar untuk Umno mengulangi sejarah sebelum 2018.

Inilah yang menyebabkan perdana menteri dilihat semakin lesu. Apabila tubuh lesu, cakap pun tidak lagi menyerlah. Tiba-tiba Ismail Sabri menegaskan tiada pergeseran antara beliau dan Zahid Hamidi.

Malah Zahid pada siaran berita televisyen terpancul perkataan, “Dia ada penyokong, saya pun ada penyokong, dia ada penasihat, saya pun ada penasihat”.

Mengapa tiba-tiba muncul naratif seumpama itu. Kata orang tua-tua tiada angin masakan pokok bergoyang. Sedangkan negeri-negeri yang semakin ditutup mendung hitam menggerakkan jentera memindahkan rakyat.

Cuba pula kita hayati kata-kata hikmat Setiausaha Agung Umno. Kata Ahmad Maslan, “hujan, pakailah payung.” Ia juga dilapor meluas media.

Apakah hujah seumpama itu dapat membantu perdana menteri. Tentunya tidak. Kata seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ‘tindakan membubarkan parlimen ketika negara sedang bersiap menghadapi banjir adalah tidak bertanggungjawab’.

Banjir yang melanda Langkawai Ahad lepas masih lagi melimpah di pulau pelancongan tersebut. Ada portal memaparkan foto banjir kawasan Market Padang Matsirat awal pagi.

Ternyata hari-hari terakhir perdana menteri ke-9 banyak kesilapan tidak disedari.

Ucapan Ismail Sabri pada Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) 17 Oktober lalu menambah lagi retak yang menunggu belah.

Beliau antara lain menyebut tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Agong tidak bersetuju cadangan mengadakan pilihan raya umum di musim tengkujuh boleh dipecat.

Biarpun disebut sebagai gurauan, namun ia mengundang reaksi segera pihak lain. Menteri (Tugas-Tugas Khas) Dr Abd Latiff Ahmad menyifatkan ucapan perdana menteri itu mengelirukan.

Mengambil kira situasi yang berlaku sekarang, mampukah Umno mengulang kejayaan di Melaka dan Johor. Bekas Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam ada jawapannya.

Beliau menyifatkan Umno sebuah parti politik penuh semangat nasionalisme, kini bertukar kepada nafsu materialisme.

“Kepentingan masyarakat tenggelam dan tidak menjadi keutamaan lagi. Umno juga sedang menghadapi krisis kepemimpinan… yang tak pernah dihadapinya,” katanya seperti dilapor laman berita.

Musa menyimpulkan Umno dan BN tidak akan mampu menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Hematnya parti itu akan menjadi minoriti.

Musa berhujah begitu pada program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor, di Johor Bahru, semalam.

Pengkaji politik dari Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof menyifatkan banyak naratif terbina di sebalik tindakan perdana menteri sekarang datang dari kehendak presiden Umno sendiri.

“Suatu situasi pembubaran yang ‘terpaksa’ di sisi seorang PM ekoran beberapa siri desakan dari dalaman partinya sendiri,” ujarnya.

Dengan kemelut yang dihidangkan itu mampukah Ismail untuk dinobatkan lagi sebagai PM ke-10. Tentunya sukar. Ia seumpama awam mendung mendung di Pantai Timur sekarang. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -