Memilih pemimpin tanggungjawab setiap individu

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

اِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلٰوةَ وَيُؤْتُوْنَ الزَّكٰوةَ وَهُمْ رَاكِعُوْنَ.

“Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, serta tunduk (patuh kepada Allah).”

(al-Maa’idah: 55)

Gendang Pilihan Raya Umum ke-15 telah dipalu dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022. Ini menunjukkan Pilihan Raya Umum akan diadakan dalam waktu terdekat.

Apa jua suasana dan keadaan, setiap warga negara yang mencukupi syarat berhak membuat keputusan memilih pemimpin yang diyakini boleh menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Setiap warga negara Malaysia yang merdeka seharusnya merasa terpanggil untuk menyertai pilihan raya iaitu memilih pemimpin. Ianya adalah suatu tanggungjawab dan kewajipan.

Tanpa mengira usia, tua atau muda seharusnya menunaikan tanggungjawab ini dengan sempurna yang boleh.

Jika perlu pulang ke kampung halaman, maka pulanglah menunaikan tanggungjawab ini. Jika terpaksa berkongsi kenderaan sekali pun, lakukanlah, bahkan jika ditakdirkan terpaksa meredah banjir, maka redahlah demi sebuah perjuangan dan tanggungjawab memilih pemimpin untuk masa hadapan ummah, agama, bangsa dan negara.

Seruan khusus untuk anak muda dan pengundi kali pertama, pilihlah pemimpin secara bijaksana berdasarkan maklumat dan fakta yang benar. Jari yang memangkah boleh membawa kebaikan atau pun mudarat untuk agama, bangsa dan negara. Ianya pasti akan menjadi saksi dan juga disaksikan oleh Allah dan para Malaikat-Nya.

Justeru sama-sama kita mengambil peluang ini untuk berkhidmat kepada negara dengan menjadi pemilih dan memilih pemimpin yang prihatin rakyat, telus, berintegriti, bersih daripada rasuah dan berjiwa rakyat.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 13/10/2022

- Advertisement -