Enam minit menakjubkan Salah aibkan Rangers

Aksi Mohamed Salah selepas menjaringkan gol untuk Liverpool
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Mohamed Salah menjaringkan hatrik dalam tempoh enam minit ketika Liverpool menewaskan Rangers dengan kemenangan besar 7-1.

Pemain Mesir yang tidak berada dalam kesebelasan utama menjaringkan hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara ketika membantu Liverpool meraih kemenangan di Rangers, sekali gus menyingkirkan pasukan Scotland itu dari pertandingan.

- Advertisement -

Namun Rangers menjaringkan gol pertama menerusi Scott Arfield, tetapi Roberto Firmino membalas sejurus selepas itu dengan tandukan padu sebelum menambah gol kedua pada awal babak kedua. Darwin Nunez menggandakan pendahuluan Liverpool pada minit ke-66.

Salah yang menggantikan Nunez pada minit ke-68, menjaringkan hatrik dengan pantas, hanya enam minit dan 12 saat memisahkan gol pertama dan ketiganya. Harvey Elliott menambah gol ketujuh untuk Liverpool pada minit ke-87 untuk menyempurnakan malam hebat pasukan Jurgen Klopp.

Keputusan ini bermakna Rangers yang kekal tanpa mata, tidak boleh menamatkan saingan di dua tempat teratas Kumpulan A dan mara ke peringkat kalah mati. Skuad bimbingan Giovanni van Bronckhorst, masih boleh layak ke Liga Europa jika menduduki tempat ketiga di hadapan Ajax.

“Kami benar-benar tepat. Bertemu kami pada saat yang salah adalah tidak bagus (untuk lawan),” kata Klopp.

“Semua gol yang kami jaringkan adalah luar biasa. Mo (Salah) datang dan mentafsir kedudukan dengan baik. Ia adalah malam yang segalanya berjalan lancar. Bagaimana kami bermain, mengatur dan menamatkannya,”

Dalam suasana seperti kawah di Glasgow, Liverpool bergelut pada awal perlawanan dan mendapati mereka ketinggalan ketika Arfield meledak gol pertama pada minit ke-17.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan tidak sampai lapan minit, ketika Firmino meneruskan aksi prolifiknya di hadapan gawang dengan tandukan berhampiran tiang dari sepakan sudut untuk menyamakan kedudukan.

Liverpool adalah pasukan yang lebih baik pada babak kedua dan mendahului kira-kira 10 minit selepas rehat apabila Firmino menyempurnakan hantaran lintang rendah Joe Gomez.

Ketika Rangers mencari gol penyamaan, penyudah yang baik daripada Nunez meletakkan tuan rumah semakin ketinggalan hingga kemunculan Salah yang memulakan perlawanan dari bangku simpanan, memberikan penyudah yang sangat baik dari sudut yang sukar.

Salah menjaringkan gol keduanya pada minit 80 dengan penyudah hebat melepasi McGregor yang berada di luar kedudukan.

Gol ketiga Salah pada minit ke-81, adalah lebih tipikal dengan gayanya, memotong dari sayap kanan sebelum melencongkan bola dengan kaki kirinya ke sudut gawang.

Elliott menambah kesengsaraan tuan rumah dengan gol ketujuh yang meletakkan Liverpool ke tempat kedua dalam Kumpulan A dan hanya memerlukan satu mata dari baki dua perlawanan untuk memastikan tempat di peringkat kalah mati.

“Permainan separuh masa pertama dan setengah jam terakhir ibarat malam dan siang. Bagaimana kami bermain dengan perbezaan yang begitu besar dalam Liga Juara-Juara. Saya tidak dapat jelaskan sekarang.” kata bos Rangers, Van Bronckhors.

- Advertisement -