DUN Perlis lulus peraturan larang Adun lompat parti

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perlis menjadi negeri kedua meluluskan undang-undang melarang wakil rakyat bertukar parti yang mendapat sokongan majoriti pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun dua Adun tidak hadir pada Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14.

Speaker DUN Perlis Dato’ Hamdan Bahari berkata beliau menerima dua permohonan ketidakhadiran iaitu Adun Titi Tinggi Teh Chai Aan dan Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli.

“Adun Titi Tinggi bercuti dan berada di luar negara, manakala Adun Sanglang berada di luar kawasan dan tidak sempat pulang,” katanya pada sidang Dun.

Persidangan DUN hari ini merupakan persidangan khas bagi pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis dengan memasukkan perkara 50A berkaitan larangan Adun di negeri itu bertukar parti sebelum Dun dibubarkan.

Dewan Negara pada 9 Ogos lalu meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 mengenai larangan ahli parlimen bertukar parti.

Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) berkata, aktiviti lompat parti mengundang pelbagai masalah seterusnya memberi kesan negatif kepada pentadbiran negara.

“Melihat kepada situasi semasa apabila berlaku lompat melompat antara parti selepas pilihan raya ia mengundang pelbagai masalah dan kesan negatif kepada kerajaan yang dipilih rakyat.

“Lebih kurang 41 daripada 193 negara di dunia melaksanakan akta tersebut. Saya juga menyokong sepenuhnya agar akta terbabit dapat dilaksanakan di Perlis,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2022

- Advertisement -