PRU15: Mandat kembali kepada rakyat untuk tentukan pilihan

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh NUR ASHIKIN ABDUL AZIZ

KUALA LUMPUR:
Susulan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt lepas, mandat untuk memilih kerajaan sekali lagi dikembalikan ke tangan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

- Advertisement -

Kini sekurang-kurangnya lima gabungan politik bakal merebut 222 kerusi Parlimen, seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Namun persoalannya kini parti atau gabungan mana yang bakal menjadi pilihan lebih 21 juta pengundi berdaftar termasuk 1.2 juta pengundi berusia antara 18 dan 20 tahun susulan pelaksanaan UNDI18, yang tentunya ingin mengelak episod ketidaktentuan politik negara pada penggal lepas daripada berulang.

Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) setakat 5 Okt, terdapat 69 parti atau gabungan politik berdaftar di negara ini, antara lain Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), manakala Gerakan Tanah Air (GTA) pula difahamkan masih menanti kelulusan RoS.

Selepas kerajaan BN yang meneraju pentadbiran negara selama lebih enam dekad tumbang dalam PRU14 pada 9 Mei 2018, PH mengambil alih tampuk kepimpinan negara, dan apa yang menyusul adalah pelbagai peristiwa ‘drama’ politik yang tidak berkesudahan.

Bermula dengan insiden lompat parti Ahli Parlimen terutama daripada BN, ia diikuti dengan Langkah Sheraton yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohammad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh, dan kejatuhan kerajaan PH sekali gus digantikan dengan kerajaan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum Ismail Sabri mengambil alih tampuk kepimpinan pada Ogos 2021.

Buat pertama kali dalam sejarah negara, Malaysia mempunyai tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal – Dr Mahathir selama 22 bulan, Muhyiddin (17 bulan) dan Ismail Sabri (14 bulan) – yang secara tidak langsung menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi, terutamanya ketika negara berdepan Covid-19.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berpendapat jaminan kestabilan jangka panjang akan menjadi faktor terpenting untuk mempengaruhi pilihan pengundi pada PRU15 yang ingin menumpukan fokus pada pemulihan ekonomi.

Beliau berkata atas faktor ini, beliau berpendapat BN dilihat mempunyai kelebihan berbanding gabungan lain kerana telah mempunyai track record dalam pemerintahan negara, walaupun ada sesetengah pemimpinnya, terutama kumpulan kluster mahkamah, tidak disenangi pengundi secara umum.

“Orang sudah letih melihat sepak terajang politik, jadi mereka akan memlilih satu gabungan politik yang boleh kekal lama supaya politik cantas mencantas, jatuh menjatuh dapat dielakkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Jamaie berpandangan selain PH yang mampu menggugat BN, gabungan lain seperti PN dan GTA dijangka kurang mendapat tempat di hati pengundi, atas faktor tidak mempunyai gerakan akar umbi yang kuat untuk menghadapi PRU.

Sementara itu pasca PRU14 menyaksikan kelahiran sekurang-kurangnya lima parti dan gabungan politik antaranya PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), GTA, Pejuang, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kecuali GPS di Sarawak yang mampu menang besar dalam perebutan 31 kerusi Parlimen di negeri itu, peluang agak tipis untuk nama-nama baharu lain.

“MUDA dan GTA lebih bergantung kepada personaliti seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (presiden MUDA) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Penaja GTA). Mungkin akan ada peluang untuk menang satu atau dua kerusi. Untuk MUDA peluang lebih cerah jika mereka bekerjasama dengan PH,” katanya.

Selain itu, Mohd Azizuddin berkata percaturan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi tumpuan kerana mereka akan menjadi kingmaker kepada pembentukan kerajaan Persekutuan dalam keadaan tiada mana-mana parti politik mampu memperoleh majoriti mudah, iaitu 111 kerusi daripada 220 kerusi.

“Sentimen di Sabah dan Sarawak ini berbeza daripada Semenanjung, dan mereka ada keseluruhan 56 kerusi. Mereka boleh sahaja bekerjasama atau memberi sokongan kepada mana-mana parti politik di Semenanjung yang dilihat mampu membentuk kerajaan atau menyokong perjuangan mereka,” katanya.

Pada PRU14, PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu, menang dengan majoriti mudah selepas memenangi 113 kerusi. BN pula memenangi 79 kerusi, diikuti PAS (18), Parti Warisan Sabah (lapan), Parti Solidariti Tanah Airku (satu) dan Bebas (tiga).

Sebelum Parlimen dibubarkan Isnin lepas, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan PH dengan 90 kerusi, BN (43), Bersatu (28), GPS (19), PAS (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (enam), Pejuang (empat), Bebas (tiga), dan masing-masing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu (PSB), STAR. – BERNAMA

- Advertisement -