Golongan asnaf terus diperkasa – Idris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif demi inisiatif telah dijalankan oleh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu dan memperkasakan asnaf.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pendekatan memberi joran daripada ikan, sentiasa diterapkan apabila ingin membantu masyarakat yang memerlukan dan mempunyai kudrat untuk bekerja.

“Hal ini kerana kita mahu para asnaf ini dapat keluar dari kepompong kemiskinan dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Hari ini merupakan suatu sejarah dan pencetus kepada sebuah kejayaan, apabila sebuah peluang keemasan kepada 2,000 asnaf yang terpilih dan berpotensi serta memenuhi kriteria mendapat pinjaman bermula daripada RM5,000 untuk dijadikan modal,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Ini susulan beliau bersama MAIWP dan YaPEIM turun kelapangan bagi merasmikan Program Pelancaran Ekonomi dan Keusahawanan Asnaf.

Selain itu juga, ujarnya 2,000 usahawan asnaf yang berpotensi, MAIWP turut menyediakan dana bagi pembelian emas di Akaun Emas YaPEIM (SERY) kepada usahawan asnaf yang secara keseluruhan berjumlah RM20 juta.

Tambahnya, YaPEIM dalam masa sama turut menyediakan peluang latihan dan bimbingan untuk pembangunan usahawan emas serta menjalankan pemantauan khusus berkaitan perniagaan yang dijalankan.

“Didoakan kesejahteraan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan program yang amat bermanfaat kepada masyarakat dan ummah ini,” ujarnya lagi.

Dalam satu lagi hantaran, beliau bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan pertemuan dan ramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI), petang tadi.

Katanya, dalam pertemuan itu, ahli-ahli jawatankuasa telah bertukar pandangan ke arah mewujud dan mengekalkan keharmonian dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Menurutnya, tema perbincangan ialah peranan agama dalam memupuk perpaduan dan keharmonian keluarga Malaysia.

Beliau berkata, di dalam Islam, prinsip itu amat jelas seperti di dalam Surah Al-An’aam ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua Jawatankuasa HARMONI yang terlibat menyampaikan pandangan dan buah fikiran ke arah keharmonian Keluarga Malaysia yang saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

“Mudah-mudahan usaha menyemai keharmonian dan perpaduan masyarakat akan membina negara yang sejahtera,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/10/2022

- Advertisement -