Utamakan kesejahteraan rakyat daripada kepentingan politik

Ahmad Dullah
- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

LAHAD DATU:
PAS Sabah menggesa semua parti politik mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding kepentingan politik.

Ketua Penerangannya, Ahmad Dullah berkata, desakan untuk membubarkan Parlimen dengan segera dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan perkembangan ekonomi negara yang masih belum stabil bukan langkah yang tepat.

Ini, ujarnya supaya urusan menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang lebih utama hendaklah terlebih dahulu diselesaikan.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai perkara itu.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam kenyataan pada 4 Oktober lalu berpandangan, pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kawasan Barat negeri ini antara kawasan yang berpotensi berlakunya banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh disebabkan oleh fasa peralihan monsun.

“Perubahan iklim dan cuaca telah membawa khabar yang jelas untuk semua pihak agar bersedia berhadapan dengan krisis bencana alam yang berpotensi menjejaskan ekonomi negara.

“Adalah tidak wajar sekiranya pilihan raya diadakan dalam keadaan rakyat berdepan dengan kebimbangan berkemungkinan berlakunya banjir,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan kepada Harakahdaily.

Beliau turut meminta semua pihak menyokong segala usaha kerajaan dalam langkah pemulihan negara yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2023 Jumaat ini. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -