‘Kami akan terus didik umat ini jadi baik’

- Advertisement -

Oleh FADILAH NORDIN

KOTA KINABALU:
PAS akan terus membina pusat pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan menengah dengan kurikulum bersepadu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkata, hasrat PAS mahu melihat manusia sempurna dengan ilmu dan akhlak.

- Advertisement -

“Kami akan terus mendidik umat ini menjadi baik, kenal Allah Yang Maha Pencipta.

“Biarpun ada segelintir orang mengatakan PAS ekstrem, PAS tidak sesuai di Sabah, itu hanya pandangan picisan,” tambahnya yang juga Yang Dipertua PAS Sepanggar

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Sukaneka PASTI Sepanggar di Kompleks Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Menurutnya, dalam kawasan Parlimen Sepanggar sahaja sudah ada 13 buah PASTI dan sebuah Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).

Katanya, PAS akan terus berada dalam masyarakat untuk mendidik umat bagi melahirkan generasi rabbani.

Beliau yang Setiausaha PAS Sabah juga menyatakan rasa terharu atas sokongan masyarakat khususnya ibu bapa yang sangat luar biasa hadir memerihkan sukaneka tersebut.

PASTI An-Najah Taman Kuala Menggatal muncul johan keseluruhan sukaneka itu manakala dalam acara perbarisan, johan dimenangi oleh PASTI Al-Fateh, Salut Perdana, naib johan pula PASTI As-Solihin, Taman Putrajaya dan tempat ketiga PASTI As-Salam, Taman BDC.

Pemimpin PAS kawasan yang turut hadir ialah Ketua Pemuda, Muhammad Afiq Norddin, Ketua Dewan Muslimat, Ummu Ahnaf Abu dan Ketua Penerangan DMPK, Nur Iman Mansur. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -