Larangan MP tukar parti akan dikuatkuasakan mulai esok

KUALA LUMPUR: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dikuatkuasakan mulai esok, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata akta berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 Sept lepas.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan Seksyen 1(2) dan Seksyen 1(3) Akta A1663.

Advertisement

“Akta ini juga telah digazet pelaksanaannya baru sekejap tadi. Jadi saya janji sampai di hadapan saudara-saudara…saya janji dan janji saya, saya telah tepati,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Akta ini sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai lepas dengan majoriti sokongan 209 Ahli Parlimen dengan 11 lagi Ahli Parlimen tidak hadir, manakala Dewan Negara meluluskannya pada 9 Ogos lepas, dengan sokongan 52 senator manakala tujuh lagi senator tidak hadir.

Wan Junaidi berkata dengan penguatkuasaan akta ini, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti maka dia akan hilang keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat.

“Saya menjunjung kasih Tuanku yang berkenan dengan pelaksanaan rang undang-undang ini sebagaimana rakyat telah tunggu,” katanya.

Selepas ini, beliau berkata surat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyusul ke semua negeri untuk memohon kerajaan negeri menyelaras dan mengguna pakai pindaan yang telah digubal ini di bawah Jadual 8 Perlembagaan ini, di negeri masing-masing.

“Jadual itu ialah untuk menyelaraskan penggunaan Ahli (Dewan Undangan Negeri) berpindah parti di negeri-negeri yang boleh diguna pakai kepada pihak ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dia.

Kerana kita tak nak lain negeri lain corak, sebab itu Perdana Menteri akan menghantar surat selepas ini supaya semua negeri menyelaraskan…bila Dewan Undangan Negeri mereka bersidang hujung tahun ini, pindaan kepada Perlembagaan atau rang undang-undang mereka dapat dibuat,” katanya. – BERNAMA