Berganding bahu dukung usaha PM martabat Bahasa Melayu

Prof Tan Sri Abdul Latiff Abu Bakar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seluruh pemimpin negara perlu berganding bahu dan mendukung usaha Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memperkasa serta menjulang bahasa kebangsaan ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Buku Negara Prof Tan Sri Abdul Latiff Abu Bakar berkata Ismail Sabri sudah memulakannya dan usaha itu sewajarnya diikuti seluruh kepimpinan negara.

“Pemimpin lain saya harap dapat mengikut jejak langkah beliau (Ismail Sabri)…Sebagai satu (Keluarga) Malaysia, kita perlu bersatu memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

- Advertisement -

“Sebagai salah seorang yang berjuang dalam bahasa dan budaya, bagi saya ini (Ismail Sabri) adalah satu contoh pemimpin yang apa diperkatakan pasti akan dilaksanakan. Ini contoh yang baik, ia menggambarkan jati diri, kekuatan dan identiti Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Abdul Latiff karisma yang ditonjolkan Ismail Sabri pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 baru-baru ini, mencerminkan komitmen beliau dalam menghayati dan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat dunia ketika menjalankan tugas sebagai ketua negara.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata tidak timbul isu kononnya dasar serta pendirian negara gagal disampaikan ke peringkat antarabangsa hanya kerana menggunakan bahasa Melayu.

“Ini (menggunakan bahasa kebangsaan) bukan sesuatu yang janggal, rakyat kita juga banyak songehnya, ketika negara lain seperti China, Korea dan Jepun menggunakan bahasa sendiri pada perhimpunan antarabangsa, kita tidak komen apa-apa, tetapi apabila kita gunakan bahasa sendiri banyak pula komen seperti maklumat tidak sampai dan sebagainya.

“Ini tidak benar, sebab akan ada penterjemah profesional dilatih dan mempunyai kelayakan menterjemah sewaktu ucapan disampaikan…mereka dapat menterjemahkan kandungan ucapan berserta dengan nada ucapan, maknanya kalau percakapan Perdana Menteri laju maka terjemahan dalam bahasa Inggeris juga laju dan jika ucapan itu lantang penterjemah juga akan lantang menyuarakan perkara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Teo menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap rakyat Malaysia sendiri yang dilihat suka mengecam dasar-dasar kerajaan berkenaan bahasa, menggambarkan kegagalan negara membentuk negara bangsa dalam beberapa aspek sehingga melahirkan golongan antinasional.

“Dalam hal ini, saya selalu berpendapat bahawa kita gagal dalam beberapa aspek pembentukan negara bangsa, kita gagal dalam proses pembinaan manusia Malaysia sedangkan jika di Indonesia dan beberapa negara lain ia tidak begitu.

“Di Malaysia, rakyat sendiri tidak sokong dasar negara, contoh untuk sebar luas bahasa Melayu di luar tanah watannya sedangkan perkara ini ada dalam dasar luar negara iaitu diplomasi budaya, ada dasarnya dan rakyat menentang,” katanya.

Justeru, Teo berkata kerajaan harus melihat semula sistem pendidikan untuk meneliti di manakah silapnya sehingga terbentuknya golongan antinasional ini.

“Adakah sistem pendidikan kita salah atau adakah cara kita membina manusia Malaysia itu salah sehingga tidak tercapai matlamat yang dikehendaki? Kita selalu juga dengar rakyat hanya hafal Rukun Negara tetapi tidak menghayatinya, di mana silapnya,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan pula menyifatkan ucapan Ismail Sabri pada persidangan dunia itu sebagai isyarat penting mengenai Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan mempunyai jati diri tersendiri.

“Ucapan 22 minit Perdana Menteri itu menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat, merdeka dan mempunyai jati diri yang jelas iaitu melalui bahasanya.

“Ini saya kira menimbulkan bukan saja soal kejutan, tetapi juga satu keghairahan di peringkat antarabangsa kerana bertambah lagi sebuah negara yang pemimpinnya berucap dalam bahasa kebangsaan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV.

Pada 24 Sept lepas, Ismail Sabri mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu. – BERNAMA

- Advertisement -