Bajet 2023 tumpuan Dewan Rakyat kali ini

KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2023 menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari bermula Isnin ini (3 Okt) hingga 29 Nov.

Berdasarkan laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 itu bakal dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, 7 Okt.

Bajet 2023 bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’ itu dijadual dibahas di peringkat dasar bermula 11 hingga 26 Okt sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.

Advertisement

Perbahasan peringkat jawatankuasa akan bermula dari 3 hingga 23 Nov sebelum rang undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Rakyat.

Takwim Mesyuarat Ketiga ini dipinda dari tarikh asal 26 Okt hingga 15 Dis 2022 dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan ia bagi membolehkan pembentangan Bajet 2023 dipercepatkan.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan mungkin menjadi yang terakhir untuk penggal Parlimen ke-14 ekoran spekulasi pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat termasuk beberapa hari selepas Bajet 2023 dibentangkan bertiup kencang, bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam sejarah negara, Parlimen kesembilan Malaysia dibubarkan ketika mesyuarat Dewan Rakyat sedang berlangsung serta sebelum Belanjawan 2000 diluluskan pada November 1999.

Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tun Dr Mohamed Zahir Ismail menjelaskan Belanjawan 2000 yang masih dibahaskan dan lima rang undang-undang yang telah diluluskan Dewan Rakyat perlu dibentangkan semula pada persidangan Parlimen baharu kerana ia belum dibawa ke Dewan Negara dan belum menjadi undang-undang.

Pada sidang Dewan Rakyat kali ini, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan menjadi antara tumpuan setelah ia dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada mesyuarat Dewan Rakyat 2 Ogos lepas.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yakin rang undang-undang itu yang dicadang untuk dibentang bagi bacaan kedua pada mesyuarat kali ini akan menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Rang undang-udang berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 yang ditangguhkan bagi bacaan kedua dan ketiga dalam aturan mesyuarat sebelum ini, dijangka dibawa ke persidangan kali ini.

Usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang telah ditangguhkan buat kali keempat turut dinantikan sama ada ia akan dikemukakan pada mesyuarat ini atau ditangguhkan lagi. – BERNAMA