LRA Bukit Sah: 325,000 pengguna di Kemaman dapat manfaat

- Advertisement -

CHUKAI: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Sah yang siap pada November tahun lepas dapat memanfaatkan 325,000 pengguna di daerah Kemaman, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM670 juta untuk menaik taraf loji berkenaan yang mempunyai kapasiti 255 juta liter air sehari.

Katanya keupayaan itu menjadikan LRA Bukit Sah sebagai loji terbesar di Terengganu setakat ini yang dilengkapi dengan pusat kawalan telemetri bagi membolehkan kawalan dibuat secara lebih terperinci dan berkesan.

- Advertisement -

“LRA Bukit Sah telah menjalani beberapa fasa naik taraf  sejak dibina pada 1984, fasa terakhir bermula pada November 2015 dan siap beroperasi pada November 2021.

“Dengan peningkatan keupayaan sebanyak 255 juta liter air sehari, ia mampu menampung kegunaan 325,000 pengguna domestik dan bukan domestik di kawasan Kemaman,” katanya selepas majlis perasmian LRA Bukit Sah di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ts Abdul Karim Endut.

Selain itu Ahmad Samsuri berkata bagi memastikan kelangsungan bekalan air bersih di Terengganu, kerajaan negeri elah melaksanakan Projek Utama Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) dengan peruntukan sebanyak RM1.3 billion.

Katanya projek tersebut telah dilaksanakan secara berperingkat bermula Mac 2021 dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

“Projek ini dijangka akan memanfaatkan 600,000 pengguna di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang kini sedang membangun,” katanya.

Beliau berkata Projek Utama Bekalan Air KTU merangkumi tiga pakej iaitu pakej 20 juta liter sehari di Pulau Bahagia, pakej 44 juta liter sehari di Losong dan pakej 120 juta liter sehari di Bukit Berapit.

Katanya pakej 20 juta liter sehari di Pulau Bahagia dan pakej 44 juta liter sehari di Losong telah pun siap dan digunakan, manakala pakej 120 liter sehari di Bukit Berapit dalam peringkat akhir pengujian sebelum mula beroperasi pada hujung tahun ini. – BERNAMA

- Advertisement -