Dakwaan culik murid hanya cerita yang direka-reka

Datuk Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH: Dakwaan kononnya ada cubaan menculik seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah dekat sini seperti yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak berasas, dan hanya sebuah cerita yang direka-reka sahaja, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Advertisement

Katanya berdasarkan siasatan polis, murid berkenaan mengaku mengada-adakan cerita kepada ibunya, sebelum membuat laporan polis.

“Kita sudah siasat murid termasuk lima saksi yang terlibat dalam laporan, rakan sekelas, pengawal keselamatan serta pemandu van sekolah, (semuanya) tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak, ia tak benar.

“Mungkin murid itu banyak terpengaruh dengan visual culik di luar negara melalui laman sosial, malah ada yang sedang viral, hingga dia mereka-reka cerita selain menyatakan ingin melihat apakah tindakan polis dalam isu berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kes cubaan culik ini tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak itu memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir diculik, namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah Sabtu lepas.

“Kita juga ingin memaklumkan bahawa dakwaan dan spekulasi mengenai van putih dalam kes terbabit sebagaimana yang ditularkan sebelum ini, adalah tidak benar. 

“Polis telah sahkan kelibat van putih yang diperkatakan hanya kebetulan sahaja kerana kenderaan terbabit adalah bas pekerja, jadi apabila kes ini sedang hangat, maka ia telah disalah ertikan cubaan menculik,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya seluruh masyarakat diminta menghentikan perbuatan menyebar berita berkaitan perkara berkenaan sehingga menimbulkan ketakutan kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. – BERNAMA