Ibu bapa perlu kawal ketat anak elak kes culik

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Ibu bapa dan ahli keluarga pelajar diingat melakukan kawalan ketat terhadap anak masing-masing bagi menjamin keselamatan mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, laporan kes cubaan menculik membabitkan pelajar sekolah yang berlaku minggu lalu semasa pulang dari sekolah perlu diberi perhatian.

Menurutnya, perancangan mereka (penculik) tidak dapat diduga, kerana itu pemantauan yang lebih terancang perlu dilakukan ahli keluarga.

- Advertisement -

“Saya harap kita kena jaga keselamatan anak-anak. Macam-macam penculikan berlaku. Setiap keluarga mesti menjaga dan memantau keluarga masing-masing.

“Pastikan menjaga keselamatan. Apabila tamat waktu persekolahan jangan biarkan anak-anak bermain bersendirian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Klinik Penyelesaian Tunggakan Pusaka Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan diadakan di sebuah hotel.

Media melaporkan Polis Kelantan menyiasat dua kes tular melibatkan dakwaan cubaan culik dua murid di sebuah sekolah di daerah Gua Musang di sini pada Isnin dan Selasa lepas.

Siti Zailah juga berkata, pihaknya bersedia memberi sokongan psikologi kepada mangsa dan keluarga terlibat dengan kes terbabit. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -