42 kes buli di sekolah di Perak sejak Januari hingga Julai

Datuk Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH: Sebanyak 42 kes buli direkodkan di sekolah di negeri ini sejak Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya dua kes sepanjang tahun lepas, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Mohd Yusri yang ditemui pemberita selepas Program #Katakan Tidak Kepada Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, di sini awal hari ini berkata data berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendidikan negeri.

Advertisement

“Perbezaan itu (dua kes pada tahun lepas kepada 42 kes pada Januari hingga Julai) berikutan penutupan sekolah-sekolah sewaktu fasa pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata program #Katakan Tidak Kepada Buli bertujuan membendung kejadian buli dalam kalangan pelajar di asrama selain meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar sekiranya terlibat dalam kesalahan jenayah dan buli.

Mengenai perkembangan kes dua pekerja kuari tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai dekat sini pada 8 Mac lepas, Mohd Yusri berkata pihaknya telah menerima sampel DNA daripada waris Itam Lasoh, iaitu seorang daripada mangsa yang dipercayai tertimbus.

Beliau berkata pihaknya kini menunggu sampel DNA daripada waris seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, yang difahamkan waris itu berada di luar negara.

“Kita menunggu sampel daripada waris bagi kita memastikan adakah cebisan tulang yang dijumpai berpadanan dengan kedua-dua mangsa tersebut,” katanya.

Dilapor pada Khamis lepas, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Itam, 43, dan Kheow, 49, dihentikan selepas penemuan pakaian dan cebisan tulang manusia termasuk jengkaut kedua di lokasi kejadian.

Kesemua objek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi pengesahan identiti. – BERNAMA