KPM cari bakat sepak takraw di sekolah

- Advertisement -

USAHA KPM mencungkil, menggilap dan membangun potensi murid dalam bidang sukan diteruskan melalui Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw yang dilancarkan secara rasmi di SK Putrajaya Presint 5(1) pagi tadi.

Program Pengukuhan Sepak Takraw ini merupakan sebahagian daripada Program Transformasi KPM dengan matlamat untuk memperkasakan pembangunan sukan sepak takraw, termasuk di peringkat sekolah.

Program ini bertujuan mengenal pasti bakat murid bawah umur 12 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan seterusnya ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Dalam usaha mencungkil potensi setiap murid, mereka  seharusnya diberikan ruang dan peluang seluasnya untuk menonjolkan bakat dan kelebihan masing-masing. Ini akan membolehkan murid yang kurang menyerlah dalam bidang akademik tetapi mempunyai bakat dalam bidang sukan merasakan diri mereka dihargai serta diraikan, seterusnya menimbulkan rasa seronok untuk hadir ke sekolah setiap hari.

KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dengan menyediakan peluang bagi penyertaan dan pelibatan aktif murid dalam membentuk kemenjadian murid melalui sukan. Diharap program rintis untuk tahun 2022 ini akan menjadi platform pengukuhan program pembangunan sukan sepak takraw KPM pada masa akan datang.

Terima kasih dan tahniah kepada jawatankuasa program serta 10 orang mentor yang menjadi kumpulan penggerak utama bagi fasa pertama pencarian bakat melibatkan 1,200 murid daripada 150 buah sekolah di seluruh negara.

Selamat maju jaya kepada anak-anak yang terlibat dalam program ini. Ambillah peluang yang ada dan lakukan sehabis baik untuk mempamerkan bakat masing-masing. Ingat pesan pak cik, Nothing Beats Hard Work!

YB DATUK DR RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -