Sofian Nabil, Nik Azwan taruhan Malaysia pada LTdL 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempertaruhkan Sofian Nabil Mohd Bakri dan Nik Mohd Azwan Zulkiflie bagi membawa cabaran skuad kebangsaan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bermula dari 11 hingga 18 Okt.

Selain dua pelumba berkenaan, skuad kebangsaan juga akan turut dibarisi pasangan kembar Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal yang merupakan sebahagian kuartet pemenang emas acara ujian masa berpasukan (TTT) pada Sukan SEA 2017.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata empat tonggak ini memiliki pengalaman yang sangat besar dalam saingan LTdL apabila Sofian Nabil dan Nik Mohd Azwan masing-masing pernah menyarung jersi putih pada edisi 2019 dan 2018.

- Advertisement -

“Mereka sudah biasa beraksi berlumba dengan nama-nama besar pelumba Pro Series. Mereka tahu apa yang hendak dilakukan pada LTdL,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Abu Samah berkata pihaknya turut menagih kudrat Izzat Helmi Abd Halil dan Kee Zhe Yie, dua pelumba Bawah- 23 tahun untuk membantu Sofian Nabil serta Nik Mohd Azwan melakar kejutan pada LTdL 2022.

Skuad kebangsaan diurus oleh Ezral Ezwani Ab Malik dan dilatih Mohd Yusuf Nasir dan Amir Mustafa Rusli mengharapkan sentuhan Ariff Danial Noor Roseidi dan Dr Norhasmat Abd Aziz yang turut disenaraikan sebagai pelumba simpanan ke LTdL 2022.

Mengenai peluang skuad kebangsaan pada LTdL 2022, Abu Samah menjelaskan PKBM berpuas hati sekiranya semua pelumba berjaya menamatkan perlumbaan tanpa dibayangi sebarang prestasi mengaibkan.

“Begitupun saya harap Sofian Nabil atau Nik Mohd Azwan boleh melakukan kejutan dengan menyarung jersi putih kejohanan. Saya percaya dua pelumba ini berupaya untuk melakukan sesuatu pada LTdL 2022,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -