Siapa kata anak muda malas?

- Advertisement -

RAJIN atau malas itu adalah pilihan. Bukan terletak pada suku kaum atau usia.

Masih segar dalam ingatan waktu mana kami dalam keadaan kelam-kabut cari baju Melayu, sempena malam munajat di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah.

Waktu semakin senja, langit kian kelam. Bergegas kami menaiki anak tangga di Pekan Rabu. Mana tidaknya, takut kedai tutup dan tak sempat nak beli baju Melayu.

Saya sendiri pun cuak bila mana melihat banyak gerai sudah tutup. Namun, syukur alhamdulillah kami ditemukan dengan sebuah butik yang dijaga oleh anak muda Melayu ini.

Sedia maklum, dalam keadaan sekarang ini bukan mudah sebenarnya nak cari kerja. Apatah lagi buat anak-anak graduan lepasan institusi pengajian tinggi. 

Kemelut ekonomi yang dihadapi kita turut menjejaskan pendapatan anak-anak muda saat ini.

Akan tetapi! Saya begitu kagum apabila melihat komitmen yang diberikan oleh salah seorang anak muda di sini.

Dari segi beliau berkomunikasi dengan pelanggan. Kesungguhan anak muda ini membuatkan saya tertarik untuk menulis nukilan ini.

Beliau tidak rasa kekok untuk berbual dengan orang tua. Meskipun sukar mencari rezeki demi sesuap nasi pada ketika ini. 

Bakat dan minat? Saya tak nafikan ramai di kalangan anak muda sekarang mempunyai pelbagai bakat serta minat. 

Saya amat menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh anak muda dalam apa jua bidang diceburi asalkan ia halal. Misalnya, dalam bidang perniagaan seperti ini.

Tahniah anak muda, teruskan melangkah!

DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZIYang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 13/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -