160 penduduk terima kupon beli keperluan harian

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Seramai 160 penduduk kategori B40 menerima kupon bernilai RM50 bagi membolehkan membeli barangan keperluan dengan harga murah sempena Program Jualan Murah Keluarga Malaysia.

Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin berkata, program itu bermula Ogos lepas merupakan inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat barangan keperluan harian pada harga murah.

“Seramai 160 penduduk miskin diagih kupon bagi membolehkan mereka merasai harga murah yang ditawarkan kerajaan sempena program terbabit,” katanya pada Program Jualan Harga Murah Dun Pantai Irama yang diadakan di Pantai Timur Hypermarket di Bandar Baru Jelawat di sini semalam. (Foto atas)

- Advertisement -

Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia, Mohd Khalili Mohd Zin pula berkata, program tersebut mampu menjana semula ekonomi penduduk tempatan.

Menurutnya, jualan murah yang diadakan selama dua kali sebulan, minggu pertama dan minggu ketiga, dilaksanakan sehingga akhir tahun ini.

“Program yang kerajaan buat ini memberi peluang golongan B40 untuk meningkatkan kitaran ekonomi.

“Program jualan murah diseliakan agensi kerajaan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kerjasama pemimpin tempatan termasuk wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk Mazlan Abdullah 59, melahirkan perasaan gembira kerana terpilih sebagai penerima kupon tersebut bagi membeli barang keperluan harian.

Menurutnya, kemelesetan ekonomi pasca pandemik Covid-19 menyebabkan masih ramai rakyat kehilangan punca pendapatan.

“Alhamdulillah syukur dengan langkah kerajaan ini dapat meringankan lagi beban keluarga kami bagi mengharungi kemelesetan ekonomi sekarang.

“Kita sebagai warga emas bersyukur kerana dibantu penghulu dan wakil rakyat bagi menerima kupon untuk membeli barangan menggunakan kupon,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -