Penggunaan logo dibincang Majlis Tertinggi PN

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

ALOR SETAR: Cadangan akar umbi PAS untuk menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan dibincang pada mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua perbincangan mengenai perkara besar termasuk strategi akan dibincangan dalam majlis berkenaan.

“Semua perkara besar-besar kita akan bincang dalam PN, kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai, kita akan ambil kira.

“Jadi, jika itu usul yang dikemukakan, keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi PN, dan mesyuarat akan diadakan mungkin minggu depan,” katanya ketika ditemui media ketika menghadiri Muktamar PAS kali ke-68, di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Mengenai rundingan kerusi membabitkan parti komponen PN, ia sudah dibincang namun masih belum selesai lagi.

“Kita sudah mula runding, tetapi belum selesai. Namun saya sudah beritahu untuk disegerakan, mungkin dalam beberapa hari, tak boleh bulan,” katanya.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Ariffin Deraman mencadangkan PN Terengganu menggunakan lambang PAS pada PRU15.

Katanya, cadangan itu mengambil kira senario politik di Pantai Timur yang berbeza dengan peringkat Persekutuan.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Dato’ Sri Muhammad Sanusi berkata PAS Kedah juga berhasrat menggunakan logo PAS.

Adun Jabi Dr Azman Ibrahim pula menggambarkan penggunaan logo PN perlu mengambil masa memandangkan orang kampung sudah serasi dengan logo PAS sejak sekian lama.

“Mungkin dalam tempoh jangka panjang kita boleh ketengahkan penggunaan logo PN kerana rakyat belum mengenali secara meluas berbanding logo PAS yang sudah melekat di jiwa rakyat,” katanya ketika ditemui di sini. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -