Wakil Umno turut diundang ke Muktamar PAS

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pimpinan Umno turut diundang menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 hari ini, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini tiada jawapan daripada pemimpin Umno sama ada di peringkat pusat atau negeri untuk hadir pada muktamar PAS kali ini.

- Advertisement -

“Kita ada jemput pemimpin Umno hadir pada perasmian muktamar hari ini, namun tiada jawapan sehingga sekarang.

“Begitu juga PAS Kedah tidak menerima jawapan sehingga sekarang di atas jemputan kepada Umno untuk hadir perasmian muktamar,” katanya pada sidang media selepas perasmian muktamar di Kompleks PAS di Kota Sarang Semut hari ini.

Sebelum ini pemimpin Umno pernah hadir pada perasmian muktamar PAS selepas terjalin hubungan melalui Muafakat Nasional (MN).

Malah pada muktamar yang diadakan di Indera Mahkota, Kuantan pada 2019 kerajaan Pahang memberi kerjasama membolehkan Kompleks Sukan Negeri Pahang dijadikan tempat berlangsung muktamar.

Hadir sama pada perasmian muktamar PAS kali ini Presiden Gerakan Senator Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ketua Pemuda Ikatan Sharil Adnan dan wakil-wakil daripada gerakan Islam luar negara.

Wakil gerakan Islam paling ramai dari Indonesia dan Thailand. Wakil Pertubuhan Muslimin Vietnam juga turut hadir. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -