MUKTAMAR Tahunan PAS kali ke-68 yang sedang berlangsung pada 3 September 2022 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah baru sahaja membuka tirai dengan penuh bergaya dalam keadaan norma baharu setelah dunia lesu akibat wabak pandemik Covid-19 melanda baru-baru ini.
Sudah menjadi kebiasaan setiap kali muktamar berlangsung, pastinya akan ada usul-usul terkini yang berkaitan dengan isu-isu semasa umat Islam di peringkat antarabangsa diangkat dan dibahaskan.
Ini menunjukkan komitmen PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang bukan sahaja perjuangannya dalam konteks Malaysia semata-mata bahkan juga menyentuh dan memperjuangkan isu-isu yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia sama ada dalam aspek politik, kemanusian dan lain-lain lagi.
Setiap usul yang diluluskan ini tidak hanya diangkat, dibahas dan disimpan dalam fail untuk tatapan sahaja tetapi ianya akan diambil tindakan dalam pelbagai bentuk agar setiap isu yang diangkat dan diperjuangkan mendapat pembelaan dan perhatian yang sewajarnya daripada umat dan dunia Islam.
Selain daripada itu, isu-isu antarabangsa yang diangkat dan diperjuangkan diberikan penerangan secara jelas di mana ia mampu memberikan kesedaran kepada umat Islam sama ada melalui ceramah, kenyataan akhbar, demonstrasi aman, serahan memo dan seumpamanya.
Selain daripada tindakan di atas, sebahagian daripadanya lagi diambil langkah-langkah penyelesaian sama ada melalui kaedah politik mahupun gerak kerja seperti misi damai dan diplomatik, perundingan, sidang meja bulat dan penyertaan seminar-seminar di peringkat antarabangsa.
Pada muktamar kali ini, dijangka beberapa isu mahupun krisis yang sedang berlaku di negara-negara Dunia Islam dan dunia bakal diangkat dan dibahaskan di antaranya ialah isu Palestin, normalisasi hubungan negara-negara Asia Barat dengan negara haram Israel, isu di Yaman, Syria, Iraq dan Afghanistan, Islamofobia dan beberapa isu lagi.
Isu Palestin yang dianggap sebagai ibu kepada segala permasalahan dan isu kepada umat dan Dunia Islam di seluruh dunia diperjuangkan sejak sekian lama terutamanya sejak berakhirnya perang dunia pertama di mana Palestin telah dijajah oleh Britain yang kemudiannya diserahkan kepada zionis Israel untuk dijadikan negara mereka pada 1948.
Perjuangannya bukan sahaja turut memakan masa yang lama dan mengorbankan ribuan nyawa malah sehingga ke hari ini tidak nampak langsung jalan penyelesaiannya melainkan ia memberi kelebihan serta kemenangan di pihak regim zionis Israel terutamanya setelah perjanjian normalisasi ditandatangani.
Namun isu Palestin bukan sahaja satu-satunya isu antarabangsa yang diperjuangkan dan diangkat oleh PAS. Sejak PAS ditubuhkan dan memainkan peranan penting dalam geopolitik antarabangsa, PAS sebenarnya telah banyak memainkan peranan yang proaktif dalam menangani pelbagai isu berbangkit yang membabitkan umat dan Dunia Islam.
Saban tahun PAS menghantar delegasi-delegasi ke seminar-seminar antarabangsa yang membincangkan isu-isu semasa umat dan dunia Islam seperti persidangan Mu’assasah Al-Quds yang berpusat di Beirut, Lubnan, Majma’ Taqrib Baina Al-Mazaahib yang berpusat di Tehran, Iran dan persidangan ESSAM yang berpusat di Istanbul, Turki.
Bahkan PAS turut mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan forum antarabangsa bagi menyelesaikan permasalahan umat dan dunia Islam seperti Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Terengganu dan Kelantan pada tahun 1988, 1991, 2015 dan 2017.
Di samping itu juga, PAS terlibat secara aktif dalam misi damai dan kemanusiaan dalam menyelesaikan konflik-konflik yang berlaku di pelusuk dunia Islam. Sejak 1970an, PAS terlibat secara langsung dalam misi damai antara pejuang-pejuang Acheh dan kerajaan Indonesia.
Ketika saya mengikuti rombongan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke Acheh empat tahun lalu, Wali Acheh Yang Mulia Tengku Malik Al-Haythar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PAS di atas bantuan kemanusian dan usaha damai yang dilakukan sehingga Acheh berjaya mendapat kuasa autonomi pada tahun 2005.
Pada awal 1990an dalam konflik antara kumpulan-kumpulan mujahideen Afghanistan sejurus pengunduran tentera Soviet Union, PAS menghantar delegasi yang terdiri daripada Allahyarham Ustaz Dato’ Fadhil Noor, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Dato’ Mustafa Ali dan beberapa orang lagi pimpinan PAS bagi mendamaikan pemimpin-pemimpin mujahideen yang bertelagah kerana mereka terdiri daripada latar belakang kumpulan, qabilah dan puak yang berbeza.
Misi ini sedikit sebanyak berjaya meredakan pertembungan, antara lainnya ialah jalan penyelesaian daripada buah fikiran Allahyarham Ustaz Dato’ Fadhil Noor yang mencadangkan supaya diadakan Majlis Pertahanan Afghanistan dengan jawatan Menteri Pertahanan mengikut giliran antara suku Pashtun dan Uzbek.
Pandangan bernas tersebut telah diterima oleh semua pihak yang bertelagah namun terhenti di pertengahan jalan akibat campur tangan kuasa-kuasa asing yang mahu melihat Afghanistan terus bergolak mahupun bertelagah.
Dalam krisis Perang Teluk Pertama antara Iraq dan tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat antara 1990-1991, PAS menyertai misi damai yang diketuai oleh Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan tokoh Gerakan Islam lain seperti Mustafa Masyhur, Abdurrahman Khalifa dan Qadhi Hussein mengadakan pertemuan dengan Presiden Iraq Saddam Hussein dan pemimpin negara-negara Arab lain bagi mengelak berlakunya pertumpahan darah yang lebih besar.
Pada pertengahan 1990an, PAS menyertai misi damai bagi menyelesaikan konflik Bosnia Herzegovina yang dipimpin oleh Prof. Nejmuddin Erbakan dari Turki. PAS menghantar delegasi yang diketuai oleh Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS yang lain.
Rombongan ini mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia termasuk dengan Botrous Botrous Ghali yang ketika itu adalah Setiausaha Agong kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpusat di New York bagi menyuarakan bantahan terhadap kekejaman tentera Serbia serta mendesak Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu supaya bertindak bagi menyelesaikan krisis Bosnia Herzegovina.
Ternyata sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan PAS bukan sahaja bertapak kukuh di tanah air bahkan turut tercatat perjuangan serta penglibatan PAS dalam isu-isu mahupun konflik yang membabitkan kepentingan dan permasalahan umat dan dunia Islam di serata dunia.
Penglibatan PAS bukan untuk mencari keuntungan politik mahupun kemasyhuran tetapi adalah untuk membela nasib umat dan dunia Islam yang ditindas, dizalimi, dibunuh, dirampas hak dan tanah air mereka sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT.
Isu normalisasi hubungan di antara negara-negara Asia Barat dengan negara haram Israel sebenarnya adalah satu ujian yang besar kepada umat dan dunia Islam. Isu tersebut bukan hanya semata-mata untuk membebaskan Baitul Maqdis, bumi Palestin mahupun rakyatnya tetapi hakikatnya adalah kayu pengukur kekuatan mahupun kesepaduan umat dan dunia Islam.
Isu di Syria, Yaman dan Iraq ketika ini tampaknya ada harapan yang cerah untuk mencapai kedamaian walaupun jalannnya masih kabur. Ketika ini kelihatan negara – negara Asia Barat sudah mula mencatur solusi untuk menyelesaikan krisis di Yaman, Syria dan Iraq untuk mengembalikan kestabilan dan keamanan di Asia Barat.
Namun ketika ini “ musuh dalam selimut “ dan kuasa imperealis Barat tidak senang dengan kemajuan ini dan berusaha sehabis mungkin untuk menghuru-harakan kembali keadaan di negara-negara tersebut yang sememangnya akan menguntungkan mereka dalam usaha untuk mengekalkan hegemoni Barat di Asia Barat.
Isu Afghanistan dan Islamofobia juga antara isu besar yang sedang berlegar dikalangan umat dan Dunia Islam yang memerlukan perhatian yang sewajarnya. Isu umat Islam di Kashmir, Rohingya dan Xinjiang masih perlu diperjuang dan dibela agar nasib mereka terus diberikan perhatian oleh dunia terutamanya dikalangan umat dan Dunia Islam.
Jelas hari ini, umat dan dunia Islam telah berpecah belah dan tidak memiliki kesatuan yang utuh. Organisasi Islam yang diharap memberi sinar kesatuan dan kekuatan kepada umat dan dunia Islam seperti OIC dan Liga Arab tidak mampu berbuat apa-apa malah tunduk dan akur kepada musuh-musuh Islam.
Oleh itu, umat dan dunia Islam perlu bangkit untuk mengembalikan maruah Islam dan umatnya. Jika dibiarkan dalam keadaan lesu yang berpanjangan maka akan kaburlah masa depan umat dan dunia Islam kerana musuh-musuh Islam senantiasa menanti peluang dan ruang untuk menghancurkan terus saki baki kekuatan mahupun kesatuan yang ada.
Usah menunggu hancur baru hendak ditangisi kelemahan yang ada serta apa yang berbaki. Bangkit dan teruskan perjuangan untuk mengembalikan maruah Islam dan umatnya. Timbulkan kesedaran kerana masih belum terlambat untuk meneruskan mahupun menggerakkan perjuangan.
Semoga Dunia Islam dan umatnya sedar dan bangkit kembali untuk berjuang seterusnya memartabatkan kembali kemegahan, kekuatan serta kesatupaduan umat dan dunia Islam.
Moga Allah SWT merahmati dan memberikan kekuatan kepada kita semua.
Islam Menyatukan Umat.
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 22/9/2022